Selasa, 6 Disember 2016

Roslin tuntut senarai baru

ARKIB : 04/07/1999
PEMAIN Nusa Mahsuri, Roslin Hashim menuntut Persatuan Badminton Malaysia (BAM) agar mengemukakan senarai baru skuad ke Sukan SEA XX Brunei, bulan depan, berdasarkan ranking terbaru yang bakal dikeluarkan Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF), Khamis ini.

Menurut Roslin, dia yakin kedudukannya akan melonjak naik selepas melayakkan diri ke separuh akhir Kejohanan Terbuka Malaysia dengan menumpaskan dua pemain pilihan.

Katanya, mengikut logik, BAM harus memilih pemain berdasarkan pencapaian semasa mereka dan dia yakin namanya tidak akan tercicir jika sistem itu masih menjadi amalan badan badminton itu.

''Saya akan tunggu apakah tindakan BAM selepas ini, tetapi tidak patut sekiranya mereka mengekalkan senarai lama walaupun saya telah menunjukkan permainan yang baik di Terbuka Malaysia,'' katanya semalam.

Dalam senarai skuad Sukan SEA yang dikeluarkan BAM bulan lalu, hanya empat perseorangan lelaki disenaraikan iaitu Ong Ewe Hock, Rashid Sidek, Yong Hock Kin dan Wong Choon Hann.

Meskipun Roslin tumpas kepada juara Komanwel, Choon Hann semalam, kejayaannya mengejutkan pemain nombor satu dunia, Peter Gade-Christensen dan Ewe Hock dalam laluan ke separuh akhir untuk meletakkan dirinya antara pemain terbaik dunia ketika ini.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0704&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_08.htm#ixzz4S38nAKir © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan