Jumaat, 16 Disember 2016

Rosman-Choon Eng buru juara dunia

ARKIB : 04/03/2000
 
LEBAH yang dipilih sebagai maskot Kejohanan Badminton Piala Thomas dan Uber di Kuala Lumpur Mei ini menjadi perhatian ramai semalam sewaktu pelancaran kempen 'Malaysia Boleh' di Kota Kinabalu. Kempen yang bertujuan memberi semangat kepada pasukan negara itu akan berlangsung di Sarawak hari ini. - Gambar Bernama

WALAUPUN berkedudukan sebagai beregu badminton kedua negara ketika ini, Rosman Razak-Chew Choon Eng mengakui belum mampu meraih keyakinan ramai berbanding pasangan veteran, Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock.

Rosman-Choon Eng, yang mencuri perhatian apabila berpeluang cerah untuk membuat penampilan sulung di Sukan Olimpik Sydney 2000, masih dianggap underdog berbanding dengan beregu veteran negara itu.

Bagaimanapun pasangan ranking ke-13 dunia itu berazam untuk keluar daripada bayangan tersebut apabila beraksi pada kejohanan Terbuka Switzerland, 15-19 Mac ini.

''Kami masih dianggap pilihan kedua dibandingkan Soon Kit-Kim Hock atau (Choong) Tan Fook-Lee (Wan Wah) kerana belum memiliki sebarang gelaran untuk dibuktikan.

''Walaupun ranking kami baik, malah berpotensi untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik, saya tidak menganggap kami sebagai antara beregu terbaik dunia selagi belum meraih sebarang kejuaraan besar,'' kata Rosman ketika ditemui selepas sesi latihan di Akademi BAM, Kuala Lumpur semalam.

Soon Kit-Kim Hock masih bergelut untuk menempatkan diri ke temasya sukan terbesar dunia itu dengan berada di ranking ke-17 dunia, sejak bergandingan semula tahun lalu.

Bagaimanapun, kedudukan itu tidak menghalangnya untuk mendapat keyakinan beraksi pada kejohanan utama dunia, malah dianggap sebagai tunjang utama skuad negara pada Piala Thomas, Mei ini.

''Kami harus terima hakikat, mereka adalah lebih berpengalaman dan lebih baik berbanding kami walaupun kedudukan kami ketika ini lebih baik daripada mereka,'' katanya.

Lonjakan mendadak yang dialami beregu negara itu lebih didorong persembahan cemerlang pada Terbuka Taiwan dan Korea awal tahun ini, apabila melangkah ke separuh akhir dan suku akhir, malah menundukkan beberapa beregu terbaik dunia.

Menurut Rosman, yang pernah berganding dengan Tan Kim Her, kejayaan meraih pingat perak beregu campuran pada Sukan SEA Brunei tahun lalu menjadi titik permulaan kepada peningkatannya selepas lebih lima tahun gagal membuktikan keupayaan.

Tambah menggembirakan, peningkatan turut ditunjukkan oleh gandingannya, Choon Eng, yang muncul juara acara berkenaan bersama dengan Chor Hooi Yee.

Rosman-Choon Eng membuktikan konsistensi dengan muncul naib juara GP Akhir Kebangsaan bulan lalu, tetapi ia belum boleh menyertai skuad yang akan menjalani latihan di Korea Selatan.

Naib juara Sukan Komanwel, Soon Kit-Kim Hock menjadi pilihan ke Korea, selain bekas juara remaja dunia, Chan Chong Min-Jeremy Gan dan beregu nombor empat dunia, Tan Fook-Wan Wah

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0304&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4T0KPfUga © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan