Ahad, 11 Disember 2016

Rashid, Roslin sedia berlatih di bawah BAM

ARKIB : 08/11/1999
SEGALANYA terletak di bahu Rashid Sidek dan Roslin Hashim untuk memastikan mereka masih layak disenaraikan dalam skuad Piala Thomas 2000 selepas masing-masing bersetuju menjalani latihan di bawah ''satu bumbung'' dengan pelatih Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi tempoh lima bulan.

Jurulatih Nusa Mahsuri, Misbun Sidek, berkata, kedua-dua pemain kelab berkenaan tidak menghadapi masalah besar dalam latihan kerana dilatih oleh beliau (Misbun) sendiri di Akademi Badminton Malaysia, Taman Maluri, Cheras.

''Malah, Rashid sudah seminggu menjalani latihan manakala Roslin akan memulakannya sedikit masa lagi kerana baru sahaja selesai menyertai Kejohanan Badminton Jemputan Antarabangsa Ipoh Masters.

''Berdasarkan latihan, Rashid mampu membuah apa sahaja yang diarah, mempunyai komitmen, semangat tinggi dan sebagainya,'' kata beliau selepas bersama-sama Rashid dan Roslin mengendalikan Klinik Badminton Power anjuran Bata (M) Sdn. Bhd., di Pulau Pinang, semalam.

Bagaimanapun, kata Misbun, Rashid mampu mengikuti latihan dengan berkesan tetapi faktor lain seperti kecederaan yang menghalangnya untuk beraksi dengan baik sebelum ini.

Ketika ditanya apakah tanpa kecederaan, beliau masih yakin kemampuan Rashid, jurulatih tersebut berkata: ''Rashid sudah membuktikan kemampuan dalam latihan tetapi dalam perlawanan, sukar untuk kita ketahui apa halangan sebenarnya.

Menurut Misbun, hanya Rashid perlu memastikan bahawa dia masih layak untuk bertanding dengan menunjukkan aksi yang baik di dalam latihan dan juga kejohanan disertai.

Mengenai peluang dalam Piala Thomas kali ini, Misbun yakin Malaysia berupaya meraih gelaran berprestij itu berdasarkan kepada pemain sedia ada juga faktor gelanggang.

''Kita mempunyai peluang besar, pemain kali ini ramai yang boleh dipilih, malah bermain di gelanggang sendiri kerana kita menjadi tuan rumah turut memainkan peranan,'' tambah beliau.

Namun, kata Misbun, pemain perlu berwaspada dengan pasukan lain terutama Denmark, China dan Indonesia yang turut memberi tumpuan kepada Piala Thomas.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1108&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4SagruRJq © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan