Khamis, 15 Disember 2016

Choong Hann, kekal di tangga ke-4 -- Beregu veteran kian mantap

ARKIB : 31/01/2000
KEJAYAAN muncul naib juara Kejohanan Badminton Terbuka Taiwan minggu lepas membolehkan ranking beregu veteran negara, Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock melonjak dari tangga ke-37 ke kedudukan 16 dunia, minggu ini.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Atlanta 1996 itu memulakan alaf baru dengan berada di tangga ke-42, kira-kira tiga bulan selepas digandingkan semula.

Walaupun terkeluar seawal pusingan pertama pada Terbuka Korea Selatan dua minggu lalu, namun penyertaan mereka pada pertandingan enam bintang itu berjaya meningkatkan kedudukan di tangga ke-37 sebelum ke Terbuka Taiwan.

Ranking Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF) yang dikeluarkan semalam juga menyaksikan Wong Choong Hann, mengekalkan kedudukan di tangga keempat walaupun muncul naib juara Terbuka Taiwan.

Kebangkitan di Terbuka Taiwan setelah kecundang di suku akhir Terbuka Korea Selatan masih belum memadai untuk membolehkan pemain berusia 22 tahun itu memintas juara dunia dari China, Sun Jun (nombor dua dunia) dan Taufik Hidayat dari Indonesia (ketiga).

Kejuaraan berganda yang diperoleh Peter Gade Christensen dari Denmark juga menyaksikan pemain itu terus unggul sebagai pemain nombor satu dunia.

Apapun, kedudukan Choong Hann ketika ini menjanjikan laluan mudah untuknya melayakkan diri secara automatik ke Sukan Olimpik di Sydney, Australia pada September depan.

Hanya 16 pemain terbaik dunia akan layak secara automatik ke Sydney dengan para pemain mempunyai tempoh sehingga akhir April ini untuk mendapatkan tiket ke temasya Sukan itu.

Selain Choong Hann, Ong Ewe Hock yang berada di tempat ke-12 dan Rashid Sidek di tempat ke-16, juga dilihat mempunyai peluang cerah untuk beraksi di Sydney.

Yong Hock Kin (tempat ke-18), Ismail Saman (ke-23) dan Roslin Hashim (ke-24) turut mampu bersaing untuk merebut tempat.

Selain itu, pasangan utama negara Choong Tan Foo-Lee Wan Wah yang menjuarai Kejohanan Jemputan Copenhagen Masters Disember tahun lepas, mengisi kedudukan keempat dunia di belakang Candra Wijaya-Tony Gunawan dan dua pasangan Korea, Ha Tae Kwon-Kim Dong Moon (nombor dua) dan Lee Dong Soo/Yoo Yong Sung (ketiga).

Rosman Razak-Chew Chun Eng menduduki tempat ke-12 manakala bekas juara remaja dunia, Chan Chong Ming/Jeremy Gan di tangga ke-18.

Senarai terbaru ranking IBF: Lelaki perseorangan - 1. Peter Gade-Christensen (DEN), 2. Sun Jun (CHN), 3. Taufik Hidayat (INA), 4. Wong Choong Hann (MAS), 5. Poul-Erik Hoyer-Larsen (DEN), 6. Marleve Mainaky (INA), 7. H. Hendrawan (INA), 8. Luo Yigang (CHN), 9. Fung Permadi (TPE), 10. Heryanto Arbi (INA)

Pilihan (Malaysia) - 12. Ong Ewe Hock, 16. Rashid Sidek, 18. Yong Hock Kin, 23. Ismail Saman, 24. Roslin Hashim.

Beregu - 1. Candra Wijaya/Tony Gunawan (INA), 2. Ha Tae Kwon/Kim Dong Moon (KOR), 3. Lee Dong Soo/Yoo Yong Sung (KOR), 4. Choong Tan Foo/Lee Wan Wah (MAS), 5. Flandi Limpele/Eng Hian (INA), 6. Ricky Subagja/Rexy Mainaky (INA), 7. Simon Archer/Nathan Robertson (ENG), 8. Jens Eriksen/Jesper Larsen (DEN), 9. Denny Kantono/Budi Antonius (INA), 10. Michael Sogaard/Jim Laugesen (DEN).

Pilihan (Malaysia) - 12. Rosman Razak/Chew Chun Eng, 16. Cheah Soon Kit/Yap Kim Hock, 18. Chan Chong Ming/Jeremy Gan.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0131&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4StxCRFQf © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan