Khamis, 8 Disember 2016

Yap mara Roslin terkandas -Badminton Terbuka Indonesia

ARKIB : 03/09/1999
DENPASAR, Bali _ Pemain muda negara, Yap Yong Jyen melakukan kejutan apabila menewaskan pemain pilihan kedua, Poul Erik Hoyer Larsen untuk mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia yang berlangsung di Stadium Yuwana Mandala, semalam.

Yap menewaskan juara Olimpik dari Denmark itu dengan straight-set 15-12, 15-13 dalam masa 45 minit pada pusingan ketiga kejohanan yang menawarkan hadiah keseluruhan AS$150,000 itu.

Pada suku akhir hari ini, Yap akan bertemu pemenang pingat emas Sukan SEA Brunei, Taufik Hidayat yang juga naib juara Piala Konica minggu lalu.

Bintang muda Indonesia itu mara ke suku akhir selepas mengetepikan Tomas Johansson 15-6, 15-9.

Bagaimanapun perjuangan seorang lagi pemain Malaysia, Roslin Hashim berakhir selepas tewas kepada naib juara tahun lalu, Budi Santoso 15-8 15-13.

Yap sebelum ini turut melakukan kejutan apabila menyingkirkan pilihan 9/16, Jefer Rosobin pada pusingan pertama. Dia kemudiannya menyingkirkan pemain tidak ternama Belanda, Gerben Bruijstens.

Dua kemenangan di pusingan awal nyata memberi keyakinan kepada Yap ketika berdepan dengan Hoyer Larsen.

Meskipun ketinggalan 0-4 pada satu ketika, Yap tetap tenang dan bangkit mengasak pemenang pingat emas Sukan Olimpik Atlanta 1996 itu.

Hoyer Larsen cuba mengajak Yap bermain di jaring tetapi Yap pula banyak menghantar bulutangkis ke belakang sehingga memaksa pemain itu melakukan kesilapan apabila bulu tangkis tersangkut di jaring atau terkeluar ketika membalas pukulan.

''Saya hanya bermain seperti biasa tetapi kesilapan demi kesilapan yang dilakukan oleh Hoyer Larsen memberikan saya ruang untuk mengutip mata demi mata,'' kata Yap selepas perlawanan.

Pada set kedua, Yap yang agak keletihan selepas mengharungi dua perlawanan dengan tiga set, mula melakukan kesilapan dan sekali lagi ketinggalan 0-4 tetapi dia menyamakan kedudukan selepas setiap hantaran lawannya kerap tersangkut di jaring.

Pemain Denmark itu melakukan kesilapan besar apabila pada kedudukan terikat 13-13, dia membuat keputusan tidak mahu tambahan deuce lima mata, Yap mengambil kesempatan ini untuk menamatkan perlawanan selepas mengutip dua mata berturut-turut.

Selain Hoyer Larsen dua lagi rakan senegaranya - Kenneth Jonassen dan Peter Rasmussen turut gagal ke suku akhir setelah tewas kepada lawan masing-masing.

Kenneth tewas kepada pemain muda Indonesia, Johan Hadikusuma 9-15 6-15 manakala Rasmussen terpaksa akur dengan kehebatan bekas pemain utama Indonesia, Hendrawan juga straight-set 5-15 7-15.

Bagaimanapun pemain nombor satu dunia, Peter Gade Christensen menebus kehampaan rakan-rakannya apabila meneruskan kemaraan dengan mengalahkan pemain Indonesia, Rony Agustinus 18-15 15-1.

Turut layak ke suku akhir termasuklah juara Terbuka Singapura, Heryanto Arbi yang mudah menewaskan rakan senegara, Rudy Ignatiuss 15-5 15-7.

Dalam perseorangan wanita, juara dunia, Camilla Martin tidak menghadapi masalah untuk mara ke suku akhir setelah menewaskan pemain tidak ternama Indonesia, Siska Yunita di pusingan kedua dengan 11-0,11-0.

Turut mengiringi pemain Denmark itu ialah rakan senegaranya yang juga naib johan tahun lalu, Mette Sorense yang menewaskan pemain Indonesia, Ninik Marikah 11-13 11-5 11/2.

Dua lagi pemain harapan Indonesia Ellen Agenlina dan Lidya Djaelawijaya, Yuli Marfuah turut mara ke suku akhir.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0903&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4SF9FYUXK © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan