Isnin, 19 Disember 2016

Sasaran Roslin kutip mata

ARKIB : 26/04/2000
HANYA satu sasaran Roslin Hashim sekiranya diturunkan sebagai perseorangan ketiga dalam pusingan akhir badminton Piala Thomas 2000, bulan depan - mengutip mata buat Malaysia tanpa mengira keputusan awal perlawanan.

Roslin, 25, mahu mengulangi persembahannya ketika Malaysia muncul naib juara dalam kejohanan di Hong Kong dua tahun lalu, mengekalkan rekod tanpa kalah dalam semua perlawanan.

Walaupun kecemerlangannya belum memadai untuk membantu Malaysia muncul juara, namun ia memberi puasan buat Roslin, yang belum pernah mencatat keputusan membanggakan di arena antarabangsa selain Terbuka Belanda.

''Saya berjanji untuk tidak akan mensia-siakan semua kepercayaan yang diberi sekiranya diturunkan sebagai perseorangan ketiga nanti,'' katanya.

''Bagaimanapun dengan kehadiran Rashid (Sidek) dan (Yong) Hock Kin dalam pasukan, saya fikir peluang untuk beraksi agak berkurangan berbanding dua tahun lalu,'' katanya lagi.

Dalam pusingan akhir Piala Thomas 1998, Roslin bertindak cemerlang dengan menang semua perlawanan, termasuk muncul wira negara apabila menumpaskan Poul Erik-Hoyer Larsen ketika Malaysia menundukkan Denmark 3-2 di separuh akhir.

Roslin, ranking kemudian menjadi pemain tunggal negara mengutip mata apabila Malaysia tumpas 1-4 kepada Indonesia dalam perlawanan akhir dengan menumpaskan pemain veteran, Joko Suprianto.

''Saya pernah berjanji akan membalas kepercayaan BAM (Persatuan Badminton Malaysia) yang menyenaraikan saya dalam skuad dengan beraksi cemerlang pada Terbuka Jepun, saya tunaikan janji saya,'' katanya.

''Saya dapat berasakan saya kini berada di puncak prestasi. Saya ada meminta jurulatih (Misbun Sidek) untuk menggandakan latihan sejurus kembali daripada Terbuka Jepun dan saya percaya perubahan itu sedikit sebanyak akan mempengaruhi permainan saya.''

Roslin juga berkata, kejayaan membantu Malaysia merampas Piala Thomas mampu mengubat kekecewaannya yang belum pernah meraih gelaran membanggakan di peringkat antarabangsa.

''Tidak satupun daripada gelaran yang saya impikan sudah saya miliki, saya tidak begitu gembira dengan pencapaian saya sehingga kini,'' kata Roslin.

''Sekiranya diberi peluang untuk merangkul satu gelaran sebelum bersara, ia tentunya pingat emas Sukan Olimpik,'' katanya lagi.

Menurut Roslin, kepuasaan menjuarai kejohanan lumayan seperti Seluruh England, Terbuka Indonesia atau Terbuka Malaysia tidak sama seperti merangkul gelaran pada Sukan Olimpik.

Gelaran antarabangsa pertama yang dirangkul oleh Roslin adalah Terbuka Qatar 1996, manakala kejuaraan antarabangsa terakhir Terbuka Belanda dua tahun lalu.

''Saya benar-benar dahagakan kejuaraan. Saya mahukan Piala Thomas untuk Malaysia, saya berjanji saya akan menyumbangkan lebih daripada 100 peratus jika diberi kepercayaan berakhir.''

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0426&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4TL67r4nA © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan