Isnin, 19 Disember 2016

Kursus motivasi tingkatkan semangat Roslin

ARKIB : 19/04/2000
KURSUS motivasi selama dua hari di Kajang hujung minggu lalu nyata membawa kesan positif kepada pemain badminton perseorangan negara, Roslin Hashim.

Roslin, yang dijangka memegang peranan selaku perseorangan ketiga negara pada kejohanan Piala Thomas dari 11-21 Mei ini berkata, kursus yang diadakan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada Sabtu dan Ahad lalu, telah meningkatkan semangatnya untuk memperbaiki persembahan pada kejohanan itu.

''Pada saya kursus itu sememangnya memberi kesan kerana ia berkaitan dengan masalah yang saya alami sebelum ini iaitu kelemahan mental yang mendorong kepada kemerosotan persembahan di peringkat antarabangsa,'' katanya ketika ditemui selepas latihan skuad negara di Akademi Badminton Malaysia, Kuala Lumpur, semalam.

Roslin berkata, setiap pemain seharusnya tahu mempraktikkan apa yang telah dipelajari pada kursus itu untuk meningkatkan keyakinan diri.

''Sekiranya kita hanya membuatnya secara sambil lewa ia pastinya tidak akan mendatangkan hasil,'' katanya.

Roslin, 25, menyambung semula latihan bersama skuad Piala Thomas negara semalam sekembalinya dari Terbuka Jepun selepas bercuti sehari untuk pulang ke negeri kelahirannya di Kelantan kelmarin.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0419&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4THbcgEpJ © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan