Selasa, 6 Disember 2016

Choon Hann kini tempat ke-9

ARKIB : 09/07/1999
KEJAYAAN muncul naib juara Terbuka Malaysia melonjakkan Wong Choon Hann dalam kelompok 10 pemain terbaik dunia buat kali pertama apabila senarai terbaru ranking Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF) dikeluarkan, semalam.

Choon Hann, yang tumpas kepada pemain China, Luo Yigang pada perlawanan akhir, melonjak di kedudukan kesembilan dunia, tujuh anak tangga mengatasi ranking terakhirnya.

Juara Sukan Komanwel itu kini merampas gelaran perseorangan utama negara daripada Ong Ewe Hock, yang turut mencatat kenaikan meskipun tersingkir awal pada Terbuka Malaysia.

Ewe Hock, yang digugurkan daripada skuad ke Sukan SEA, memperbaiki dua anak tangga ke kedudukan ke-11, manakala kejayaan pemain Nusa Mahsuri, Rashid Sidek melayakkan diri ke separuh akhir kejohanan itu tidak banyak membantunya apabila kekal di tangga ke-14.

Rakan sekelab Rashid, Roslin Hashim yang mencipta kejutan ke atas, Peter Gade-Christensen turut mencatat peningkatan apabila naik ke tangga ke-18 daripada kedudukan ke-21.

Bagaimanapun juara Terbuka Indonesia, Yong Hock Kin menerima padah ekoran aksi buruk di Terbuka Malaysia apabila jatuh satu anak tangga daripada kedudukan ke-15 kepada 16.

Sementara itu Cheah Soon Kit-Choong Tan Fook kekal sebagai beregu terbaik negara meskipun gandingan itu telah dipisahkan. Mereka tidak berganjak dari kedudukan kelapan, diikuti bekas juara remaja dunia, Chan Chong Ming-Jeremy Gan di tangga ke-16.

Lee Wan Wah-Chew Choong Eng berada di kedudukan ke-18, manakala pemenang pingat emas Sukan Komanwel, Tan Fook-Wan Wah yang mara ke suku akhir Terbuka Malaysia lalu berada di tangga ke-28.

Sementara itu juara dunia, Sun Jun dari China merampas takhta pemain nombor satu dunia yang dipegang selama 62 minggu oleh Christensen dari Denmark.

China turut merampas kembali kedudukan perseorangan nombor satu dunia wanita, apabila juara Terbuka Malaysia, Dai Yun mengetepikan Carmilla Martin juga dari Denmark.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0709&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4S3KTmh5E © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan