Sabtu, 3 Disember 2016

Tiga perseorangan kita mara

ARKIB : 21/05/1999
COPENHAGEN - Jalur Gemilang terus berkibar di Stadium Brondby Hallen apabila tiga perseorangan lelaki negara meneruskan kemaraan ke pusingan ketiga pada Kejohanan Badminton Dunia, semalam.

Kecuali Wong Choon Hann, dua lagi perseorangan negara, Yong Hock Kin dan Rashid Sidek berdepan cabaran pemain kurang ternama untuk melepasi pusingan kedua dengan selesa.

Choon Hann, pemenang pingat emas Sukan Komanwel nyaris berputih mata setelah diheret hingga set ketiga sebelum menang 15-8, 14-17, 15-1 ke atas pemain Korea Selatan, Shan Seung-mo.

Hock Kin tidak menghadapi masalah untuk menewaskan Heimo Gotschl dari Austria 15-0, 15-1, manakala Rashid membenam Jim Ronny Anderson dari Norway 15-6, 15-5.

Sementara itu dua jaguh Denmark, Peter Gade Christensen dan Camilla Martin mencatat kemenangan terpantas dalam perseorangan lelaki dan wanita semalam.

Bagaimanapun yang lebih menarik kejayaan juara All-England 1991, Ardy Wiranata menumpaskan pilihan ke-15 dari China, Dong Jiong 5-15, 15-11, 15-14 selepas memilih untuk meneruskan permainan sudden death pada kedudukan 14-14 di set penentuan.

''Saya terlalu letih,'' kata Wiranata mengenai keputusan untuk tidak bermain deuce. Dia akan menentang H. Hendrawan di pusingan ketiga hari ini.

Hendrawan mara selepas berhempas-pulas mengalahkan pemain Hong Kong, Kai Chuen Tam 15-13, 8-15, 15-14 dalam masa 76 minit.

Wiranata, pemenang pingat perak Sukan Olimpik untuk Indonesia, kini menjadi jurulatih pasukan Amerika Syarikat dan beraksi untuk mereka.

Juara Eropah, Martin yang juga pilihan ketiga perseorangan wanita hanya mengambil masa 14 minit menewaskan Vlada Tcherniavskaya dari Belarus 11-0, 11-0 untuk menyertai kelompok terakhir 16 pemain.

Dia yang datang lewat kerana tersekat di stesyen kereta api Copenhagen akibat ancaman bom hampir terlepas peluang beraksi.

Gade pilihan pertama yang juga pasangan Martin di luar gelanggang, menumpaskan juara dunia 1995, Heryanto Arbi dari Indonesia dengan 15-6, 15-3 untuk membolehkan pemain Denmark itu menyertai kelompok 16 terakhir.

Juara bertahan, Peter Rasmussen, juara Olimpik, Poul-Erik Hoyer-Larsen, pilihan ketujuh, Thomas Stuer-Lauridsen dan pilihan ke-12, Kenneth Jonassen menyertainya untuk mengisi lima tempat dalam usaha Denmark mengekalkan gelaran yang dimenangi Rasmussen di Glasgow, dua tahun lalu.

Sementara itu pilihan kedua, Sun Jun dari China naib juara 1997 melangkah bergaya bersama pemain remaja Indonesia, Taufik Hidayat untuk menghalang penguasaan Denmark pada cabaran berikutnya.

Namun barisan pemain Denmark mampu melupakan kekalahan pada pertemuan akhir Piala Sudirman kepada China, Sabtu lalu dengan kejayaan ini.

Juara Komanwel, Kelly Morgan yang mengalahkan pilihan pertama dan penyandang juara, Ye Zhaoying kelmarin, menang selesa ke atas pemain England, Justine Willmott dengan 11-6, 11-7.

Beregu lelaki bermula dengan kekalahan pasangan pilihan pertama dari Indonesia, Danny Kantono dan Budi Ariantho Antonius kepada beregu China, Yu Jinhao dan Chen Qiqiu dengan 15-17, 15-3, 15-13.

Indonesia juga kecundang dalam acara beregu campuran apabila pilihan keempat, Trikus Heryanto dan Minarti Timur tunduk 15-12, 15-7 kepada pilihan ke-16 dari Denmark, Jens Eriksen dan Mette Schjoldager. - Reuters

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0521&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4RllaRikM © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan