Selasa, 6 Disember 2016

Rashid Sidek kekal ditangga ke-14

ARKIB : 17/07/1999
KEJAYAAN mara ke pusingan separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Thailand minggu lepas tidak sedikitpun membantu memperbaiki ranking Rashid Sidek yang kekal di tangga ke-14.

Rashid yang menjadi pemain bukan China tunggal mara ke separuh akhir itu tumpas kepada pemain bukan pilihan dari China, Ji Xinpeng yang merangkul gelaran naib juara.

Kejohanan bernilai AS$80,000 (kira-kira RM304,000) itu juga tidak mengubah kedudukan Yong Hock Kin di tangga ke-16 yang kandas lebih awal serta naib juara Terbuka Malaysia, Wong Choon Hann yang tidak menyertainya.

Namun penyingkiran awal Roslin Hashim pada kejohanan itu memakan diri apabila turun ke tangga ke-20 daripada kedudukan 18 yang diperolehnya setelah mara ke separuh akhir Terbuka Malaysia akhir bulan lepas.

Kejohanan bertaraf tiga bintang itu lebih memihak kepada pemain China yang memenangi kesemua lima kategori yang dipertandingkan.

Kejayaan Ji mara ke akhir melonjak kedudukannya dari tangga 41 ke kedududukan 26.

Peningkatan mendadak itu diperoleh setelah menewaskan beberapa pemain pilihan termasuk Roslin, Ahn Jae Chang (Korea Selatan), pemain nombor satu dunia, Sun Jun (China) dan Rashid.

Usaha Ji untuk menjuarai kejohanan itu bagaimanapun dihalang rakan senegara, Chen Gang yang turut memperbaiki ranking dari tangga ke-12 ke kedudukan kelapan dunia selepas bergelar juara Terbuka Thailand.

Sementara itu, pemain Denmark Peter Gade Christensen yang pernah menduduki ranking pertama dunia melebihi 60 minggu kekal di tangga kedua buat minggu kedua berturut-turut setelah mengambil keputusan untuk sekadar turut dalam acara beregu lelaki.

Pemain utama China, Sun Jun masih kekal di tangga pertama walaupun tewas di tangan rakan senegara, Ji di suku akhir.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0717&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_08.htm#ixzz4S3ruzbes © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan