Rabu, 14 Disember 2016

Choong ranking ke-3 dunia

ARKIB : 02/01/2000
PEMAIN perseorangan, Wong Choong Hann dan pasangan beregu Choong Tan Fook-Lee Wan Wah menjadi pemain badminton negara paling cemerlang apabila memasuki alaf baru dengan menduduki ranking ketiga dunia yang dikeluarkan Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF) 30 Disember lalu.

Ketiga-tiga pemain itu semakin menghampiri peluang mewakili negara ke Sukan Olimpik Sydney yang akan berlangsung September ini.

Ranking terbaru itu menyaksikan pemain Denmark, Peter Gade Christensen yang muncul pemain perseorangan kedua Eropah menjuarai Grand Prix akhir kekal di tangga pertama sementara Sun Jun dari China di tempat kedua.

Selain Choong Hann, dua lagi pemain negara, Ong Ewe Hock dan Rashid Sidek masih mampu menempatkan diri dalam 20 pemain terbaik dunia untuk akhir tahun lalu.

Ewe Hock yang turut terkandas di separuh akhir Grand Prix akhir buat kali kedua berturut-turut kini berada di tangga ke-15 sementara Rashid yang masih dihantui kecederaan lama di tempat ke-20.

Sementara itu, Wan Wah-Tan Fook mengakhir tahun 1999 dengan menjuarai Kejohanan Badminton Copenhagen Masters di Denmark, Khamis lalu.

Kedua-dua pemain yang berpisah kira-kira lapan bulan ketika Tan Fook digandingkan dengan Cheah Soon Kit, selepas Sukan Komanwel XVI 1998, menewaskan juara bertahan Jesper Larsen dan Jen Erikssen di perlawanan akhir.

Pemain tuan rumah itu tewas 11-15, 15-9, 7-15 dalam perlawanan sengit yang berlarutan lebih sejam.

Tan Fook dan Wan Wah bermula agak lemah apabila tewas 15-11, 10-15, 11-15 kepada Martin Lungaard-Lars Paaske pada perlawanan pertama peringkat kumpulan.

Kegagalan itu ditebus apabila mereka menewaskan beregu Indonesia, Sugiarto Santoso-Adi Lunkas 15-8, 15-6.

Beregu Indonesia itu kemudiannya menewaskan Lungaard-Paaske 15-8, 15-4 sekali gus membolehkan menjuarai kumpulan untuk mara ke pusingan akhir.

Dalam acara perseorangan lelaki, pemain tuan rumah, Gade Christensen menewaskan rakan senegara, Paul-Erik Hoyer Larsen 15-11, 15-11 sementara Camilla Martin memenangi perseorangan wanita dengan menewaskan Tang Chenyu dari China 11-9, 11-9.

RANKING terbaru IBF(30 Disember)

Perseorangan lelaki:

1 Peter Gade Christensen (DEN); 2. Sun Jun (CHN); 3. WONG CHOONG HANN (MAS); 4. Marleve Mainaky (INA); 5. Fung Permadi (TPE); 6. Taufik Hidayat (INA); 7. Hendrawan (INA)8. Poul-Erik Hoyer Larsen (DEN); 9. Luo Yigang (CHN); 10. Heryanto Arbi (INA).

Beregu lelaki:

1. Ha Tae Kwon-Kim Dong Moon (KOR); 2. Chandara Wijaya-Tony Gunawan (INA); 3. CHOONG TAN FOOK-LEE WAN WAH (MAS); 4. Lee Dong Soo-Yoo Yong Sung (KOR); 5. Simon D. Archer-Nathan Robertson (ENG); 6. Denny Kantono-Antonius Budi Arianth (INA); 7. Flandi Limpele-Hian Eng (INA); 8. Jens Eriksen-Jesper Larsen (DEN); 9. Michael Sogaard-Jim Laugesen (DEN); 10. Promote Teerawiwatana-Tesana Panvisvas (THA).

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0102&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4So8oXro7 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan