Selasa, 13 Disember 2016

Joo Bong ambil tugas Frost

ARKIB : 24/12/1999
PARK Joo Bong lebih gemar untuk kekal sebagai ketua jurulatih beregu daripada mengambil alih tugas Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang kosong akibat peletakan jawatan Morten Frost Hansen.

Ketika ini Park, bekas pakar beregu dilihat sebagai calon terdekat untuk menggantikan jurulatih dari Denmark itu yang mengumumkan pengundurannya kelmarin.

''Setakat ini, tiada perbincangan tentangnya lagi namun saya amat gembira dengan tugas sekarang. Saya mahu terus bersama pemain dan berlatih bersama mereka,'' kata Park selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia, Kuala Lumpur, semalam.

Sebelum menyertai BAM, Park adalah ketua jurulatih England dan jurulatih beregu Korea Selatan malah pengalaman luas serta rekod pencapaian lalu meletakkannya sebagai pilihan terbaik.

Katanya, dia tidak pernah memikir untuk menjadi Pengarah Kejurulatihan dan jika diberi pilihan, dia lebih gemarkan tugasnya sekarang.

''Saya terkejut dengan keputusan Frost dan BAM menamatkan kontrak masing-masing.

''Sejak saya bekerja di sini Oktober lalu, saya tidak pernah menghadapi masalah dengan Frost.

''Dia tidak pernah campur tangan dalam tugas saya bersama pasukan beregu,'' katanya lagi.

Selain Park, jurulatih Nusa Mahsuri, Misbun Sidek turut dianggap mampu memenuhi kekosongan Pengarah Kejurulatihan.

Misbun mungkin mengambil alih melatih pemain perseorangan negara yang kini cuma dikendalikan oleh Kwan Yoke Meng dan Sun Cheung Hua.

Misbun dan anak buahnya di Nusa Mahsuri, Roslin Hashim dan Rashid Sidek kini menjalani latihan dengan pemain BAM di akademi di bawah projek Piala Thomas/Uber.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1224&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4SnAIzWoG © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan