Selasa, 29 November 2016

Choon Hann tumpas Badminton Terbuka Jepun

ARKIB : 11/04/1999
TOKYO - Malaysia menamatkan cabaran pada Kejohanan Badminton Terbuka Jepun setelah Wong Choon Hann tumpas kepada pemain nombor satu dunia, Peter Gade Christensen di separuh akhir, semalam.

Christensen menempah tiket ke pusingan akhir dengan menewaskan pemenang pingat emas Sukan Komanwel '98 itu 15-8, 15-12.

Pemain Denmark berusia 22 tahun itu akan bertemu Sun Jun dari China yang menewaskannya pada pusingan akhir Kejohanan Grand Prix Dunia di Brunei, Februari lalu.

Sun Jun turut mara ke pusingan akhir itu setelah menewaskan rakan senegara, Chen Hong 15-9, 15-12.

Dalam satu lagi perlawanan, China sudah pasti menjuarai acara perseorangan wanita kejohanan bernilai AS$180,000 (kira-kira RM684,000) setelah dua pemainnya menempah tiket ke pusingan akhir.

Gong Zhichao mara ke akhir setelah menewaskan pemain Korea, Kim Ji-Hyun 11-0, 11-6 dalam masa 33 minit.

Dengan kemenangan itu, Gong akan bertemu juara dunia, Ye Zhaoying, peluang untuknya menebus kehampaan tumpas kepada pemain itu pada pusingan akhir Terbuka Jepun, tahun lalu.

''Sebelum ini saya terpaksa bekerja keras sebelum dapat menewaskannya, tetapi kali ini ianya begitu mudah. Ini mungkin kerana saya telah menukar taktik permainan sedikit.

''Pada kali terakhir saya menewaskannya tahun lalu, saya agak terkejut, tetapi saya tidak pernah menewaskannya pada kejohanan besar.

''Agak sukar menewaskannya sekali lagi, kerana ketika ini dia merupakan pemain yang jauh lebih baik. Bagaimanapun saya akan cuba yang terbaik,'' kata Gong merujuk kepada perlawanannya menentang Ye hari ini.

Ye menewaskan Gong dalam dua set pada suku akhir Kejohanan Seluruh England bulan lepas dalam usahanya menjuarai pertandingan itu. ''Kami selalu bertemu. Ketika ini saya tidak terfikir menggunakan taktik tertentu untuk menentangnya. Saya rasa, pemain yang mampu mengawal permainan akan menang esok (hari ini),'' kata Ye.

Ye mara ke akhir setelah menewaskan rakan senegaranya, Gong Ruina, 18, yang menjuarai Terbuka Sweden, bulan lepas.

KEPUTUSAN
LELAKI perseorangan (separuh akhir)

Peter Gade Christensen (Den x1) kln Wong Choon Hann (Mas x11) 15-8, 15-12 ; Sun Jun (Chn x4) kln Chen Hong (Chn x15) 15-9, 15-12 .

WANITA perseorangan (separuh akhir) _ Gong Zhichao (Chn x7) kln Kim Ji-Hyun (Kor) 11-0, 11-6; Ye Zhaoying (Chn x3) kln Gong Ruina (Chn x2) 11-5, 11-6.

Beregu campuran (separuh akhir) _ Liu Yong/Ge Fei (Chn x6) kln Kim Dong-Moon/Ra Kyng-Min (Kor x1) 15-9, 15-11; Ha Tae-Kwon/Chung Jae-Hee (Kor x3) kln Zhang Jun/Yang Wei (Chn x8) 15-6, 9-15, 17-14.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0411&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4RTGQteGz © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan