Jumaat, 11 November 2016

Badminton Terbuka Korea -- Persembahan baik awal tahun '99

ARKIB : 18/01/1999
WALAUPUN pemain negara gagal meraih gelaran pada kejohanan Terbuka Korea, Persatuan Badminton Malaysia (BAM), menyifatkannya sebagai pembuka tirai 1999 yang baik.

Setiausaha Kehormatnya, Datuk Mohd. Al-Amin Majid, berkata keseluruhannya pemain negara mempamer aksi memuaskan pada kejohanan enam bintang itu, lapor NORZIE MOHD. KHASBI.

''Perlawanan awal memang sering memberi keputusan tidak menentu buat mana-mana pemain, tetapi saya puas hati aksi pemain negara,'' katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurut Al-Amin, beliau yakin pemain negara akan kembali dengan persembahan sebenar di Terbuka Taiwan yang bermula esok.

''Jika mengikut ranking pemain negara sepatutnya tiada masalah untuk sekurang-kurangnya ke separuh akhir, tetapi semuanya bergantung kepada undian,'' katanya lagi.

Pada Terbuka Korea yang berakhir semalam, hanya pasangan Cheah Soon Kit-Choong Tan Fook berjaya mara ke separuh akhir, sebelum tunduk 15-8, 13-15, 10-15 kepada beregu Denmark, Jens Eriksen-Jesper Larsen.

Beregu Rosman Razak-Tan Kim Her pula sekadar ke suku akhir, manakala dua beregu lain Chan Chong Ming-Jeremy Gan dan Pang Cheh Chang-Cheah Soon Thoe kecundang di pusingan awal.

Keputusan perseorangan lelaki lebih mengecewakan apabila tiada seorangpun daripada sembilan wakil negara berjaya melepasi pusingan kedua.

Bekas naib juara Seluruh England, Ong Ewe Hock gagal pada penampilan sulung selepas enam bulan berehat akibat kecederaan.

Tiga pemain Nusa Mahsuri, Roslin Hashim, Rashid Sidek dan Ismail Saman serta lima pemain negara lain, James Chua, Yap Yong Jyen, Yeoh Kay Bin, Lee Tsuen Seng dan Pei Wei Chung turut kandas awal.

''Saya tidak kecewa hanya kerana kegagalan pada kejohanan awal. Keputusan ini tidak boleh dijadikan ukuran persembahan akan datang.

''Saya gembira permainan Soon Kit dan Tan Fook, mereka berjaya mara ke separuh akhir walaupun hampir tiga bulan tidak beraksi kerana kecederaan Tan Fook,'' katanya.

Menurut Mohd. Al-Amin, Malaysia akan membariskan pemain yang sama di Taiwan, tanpa menurunkan pemain nombor dua dunia, Yong Hock Kin dan juara Sukan Komanwel, Wong Choon Hann.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, pemain nombor satu Taiwan, Fung Permadi muncul juara perseorangan lelaki selepas menumpaskan Stuer-Laudridsen dari Denmark 17-14, 15-6.

Dalam perseorangan wanita, Zhou Mi dari Chima menumpaskan rakan senegara, Gong Ruina 11-6, 13-12 pada perlawanan akhir untuk muncul juara.

Bagi acara beregu lelaki, Flandy Limpele/Eng Hian dari Indonesia menewaskan pasangan Denmark, Jesper Larsen/Jens Eriksen, 6-15, 15-7, 15-9.

Sementara beregu wanita, pasangan China, Yang Wei/Huang Nanyan menewaskan rakan senegara Ge Fei/Zhang Ning 15-10, 15-1 untuk muncul juara.

Dalam beregu campuran, pasangan Korea, Kim Dong-Moon/Ra Kyung-Min menumpaskan pasangan China, Liu Yong/Ge Fei (Chn), 15-6, 15-8.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0118&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4PiO90Jn4 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan