Selasa, 29 November 2016

Rashid masih kekal pemain utama negara

ARKIB : 27/03/1999
PEMAIN Nusa Mahsuri, Rashid Sidek kekal sebagai pemain teratas negara untuk minggu kedua dengan menduduki tangga ke-10 ranking Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF) yang dikeluarkan semalam.

Kedudukan Rashid bagaimanapun merosot dua anak tangga berbanding tempat kelapan minggu lepas.

Kedudukan Yong Hock Kin juga menurun dari tangga ke-11 ke kedudukan ke-13 sementara Roslin Hashim di tangga ke-16, Ong Ewe Hock (17) dan Wong Choon Hann (18).

Pemain perseorangan Denmark, Peter Gade Christensen kekal sebagai pemain nombor satu dunia, sementara pemain Taiwan kelahiran Indonesia, Fung Permadi di tangga kedua.

Kedudukan juara pusingan akhir Kejohanan Badminton Grand Prix Dunia, Sun Jun dari China turut tergelincir apabila menduduki tempat kelapan, minggu ini.

Sementara itu, pemain beregu lelaki Indonesia terus menguasai ranking teratas dunia dengan lima pasangan menduduki enam tangga teratas.

Flanady Limpele-Eng Hian kekal di tangga teratas diikuti rakan senegara, Denny Kantono-Antonius Budi Ariantho di kedudukan kedua.

Pasangan Denmark, Jens Eriksen-Jesper Larsen memecahkan penguasaan pemain Indonesia dengan menempatkan diri di tangga ketiga.

Gandingan Cheah Soon Kit-Choong Tan Fook menjadi beregu terbaik negara dengan menduduki tangga ketujuh, diikuti pasangan Tan Kim Her-Rosman Razak (17), Chan Chong Ming-Jeremy Gan (18), Pang Cheh Chang-Cheah Soon Toe (23).

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0327&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4ROboCjI1 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan