Selasa, 29 November 2016

Hock Kin kalah awal

ARKIB : 08/04/1999
TOKYO - Pemain utama negara, Yong Hock Kin yang diletakkan sebagai pilihan kelapan tewas mengejut kepada pemain Korea Selatan, Ahn Jae-Chang dalam acara perseorangan lelaki Kejohanan Badminton Terbuka Jepun di sini, semalam.

Begitupun, dua lagi rakan senegara, Ong Ewe Hock dan Wong Choong Hann mara ke pusingan ketiga selepas mengalahkan pencabar masing-masing.

Hock Kin, pemenang pingat gangsa Sukan Asia Bangkok terpaksa berhempas pulas sebelum menang set pertama 17-14, sebelum kalah 10-15 dan 7-15 pada set berikutnya.

Ewe Hock yang baru sembuh dari kecederaan kaki tiada masalah apabila mencatat kemenangan mudah ke atas pemain tuan rumah, Tsutomu Kinjo 15-3, 15-4, sementara Choong Hann, pilihan ke-11 mengalahkan Kazuhiro Shimogami juga dari Jepun dengan 15-8, 15-5;

Pemain nombor satu dunia, Peter Gade Christensen mudah mengetepikan pemain Scotland, Bruce Flockhart 15-8, 15-4, tetapi empat lagi pemain pilihan menjadi mangsa apabila turut pada pusingan kedua.

''Saya menguasai gelanggang dan tidak menghadapi masalah memenanginya. Saya menantikan pertemuan menentang Dong Jiong,'' kata Christensen, yang juga juara bertahan kejohanan ini.

Bagaimanapun Dong, yang diletakkan sebagai pilihan kesembilan dan merupakan juara Sukan Asia, gagal untuk menempah pertemuan menentang Christensen, apabila tewas kepada pemain dari Taiwan, Chien Yu-hsiu 10-15, 12-15.

Pilihan ketujuh, Hendrawan Hendrawan dari Indonesia, yang menang pingat perak di Bangkok pula kalah kepada Luo Yigang dari China 15-8, 11-15, 1-15.

Juara dua kali pada Terbuka Jepun, Heryanto Arbi dari Indonesia menewaskan bekas rakan sepasukannya, Ardy Wiranata, yang kini menjadi jurulatih pasukan kebangsaan Amerika Syarikat dan mewakili negara itu, dengan 15-10, 9-15, 15-6.

Juara 1997, Peter Rasmussen dari Denmark pula menundukkan Chen Wei dari China 15-5, 10-15, 15-12 untuk turut mara ke pusingan ketiga.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0408&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4RSj7bhHj © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan