Sabtu, 12 November 2016

Soon Kit - Tan Fook kian serasi


 

ARKIB : 30/01/1999
CHOONG TAN FOOK pasangan baru Cheah Soon Kit yang mula digandingkan baru-baru ini.

KEJAYAAN mara ke pusingan akhir Kejohanan Badminton Terbuka Taiwan yang berakhir minggu lepas membolehkan gandingan baru Cheah Soon Kit-Choong Tan Fook melonjak ke tangga keenam ranking Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF) yang dikeluarkan semalam.

Pasangan baru itu memulakan cabaran 1999 dengan menduduki ranking ke-10 selepas kejayaan mara ke pusingan separuh akhir Kejohanan Terbuka Korea Selatan sebelum tumpas kepada pasangan Denmark, Jens Eriksen-Jesper Larsen dua minggu lalu.

Kedua-dua kejayaan itu memberi gambaran positif keserasian kedua-dua pemain selepas Soon Kit kehilangan pasangannya apabila Yap Kim Hock yang bergandingan dengannya selama empat tahun mengambil keputusan bersara selepas Sukan Komanwel September lepas.

Sementara itu, pemain Taiwan, Fung Permadi yang menjuarai dua kejohanan berturut-turut - Terbuka Korea Selatan dan Terbuka Taiwan dalam masa dua minggu melonjak untuk menduduki tangga kedua dunia di belakang pemain Denmark, Peter Gate Christensen yang masih kukuh di tangga teratas.

Fung yang menamatkan kemarau kejuaraan sejak tiga tahun lalu memulakan tahun 1999 dengan penuh kecemerlangan apabila menjuarai Kejohanan Terbuka Korea Selatan yang bertaraf enam bintang.

Kemenangannya itu membolehkannya melonjak ke kedudukan ke-11 ranking dunia minggu lepas.

Pemain kelahiran Indonesia yang berhijrah ke Taiwan itu kemudiannya menjuarai Terbuka Taiwan dengan menewaskan pemain negara, Rashid Sidek pada pusingan akhir.

Kejayaan itu membolehkannya terus memperbaiki kedudukan ranking dan kini berada di tangga kedua, tempat yang sebelum ini diisi seorang lagi pemain negara, Yong Hock Kin yang tidak menyertai kedua-dua kejohanan itu.

Rashid turut melonjak dari tangga ke-15 ke kedudukan ke10 dunia setelah berjaya mara ke pusingan akhir Terbuka Taiwan itu sementara Hock Kin turut ke kedudukan keempat.

Seorang lagi pemain negara, Ong Ewe Hock turut memperbaiki kedudukan dari tangga ke-10 ke kedudukan keenam.

Oleh: SRY ANGRENI MOHD. ZET

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0130&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4Pri0Vz70 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan