Jumaat, 11 November 2016

Soon Kit, Tan Fook terus mara

ARKIB : 16/01/1999
PASANGAN utama negara, Cheah Soon Kit-Choong Tan Fook meneruskan kemaraan ke separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Korea, tetapi beregu Rosman Razak-Tan Kim Her kandas pada suku akhir, semalam.

Soon Kit-Tan Fook, pilihan kedua kejohanan enam bintang itu terus cemerlang di Gimnasium Jang Choong, Seoul apabila menang 15-11, 15-13 ke atas pilihan ke-5/8 dari Indonesia, Chandra Wijaya-Tony Gunawan.

Manakala Rosman-Kim Her, gagal menyekat beregu ke-3/4 dari Denmark, Jesper Larsen-Jens Eriksen apabila tumpas 15-4, 15-7.

Juara Terbuka Belanda, Soon Kit-Tan Fook menempah pertemuan dengan Jesper-Jens pada perlawanan separuh akhir, yang berlangsung hari ini.

Satu lagi perlawanan separuh akhir beregu lelaki akan menemukan pilihan utama, Flandy Limpele-Eng Hian dari Indonesia dan Liu Yong-Yu Jinhao dari China.

''Soon Kit dan Tan Fook mempunyai peluang baik untuk mengatasi beregu Denmark esok kerana mereka mempunyai pertahanan kukuh,'' kata pengurus negara, Kwan Yoke Ming ketika dihubungi, semalam.

Sementara itu dalam perseorangan lelaki, pemain pilihan ke-3/4, Paul-Erik Hoyer Larsen dari Denmark tewas mengejut kepada rakan senegara, Thomas Stuer-Lauridsen 15-10, 15-12 di suku akhir.

Juara dunia, Peter Rasmussen juga dari Denmark, melayakkan diri ke separuh akhir selepas menumpaskan bintang baru tuan rumah, Jun Jong-bae 15-6, 15-4.

Turut mara pemain nombor satu Taiwan, Fung Permadi, yang menumpaskan Henrik Bengtsson dari Sweden 15-6, 15-7, manakala pemain remaja Indonesia, Johan Hadi Kusuma muncul pemain terakhir ke separuh akhir selepas mengejutkan pilihan ke-5/8 dari Denmark, Kenneth Jonassen 15-9, 11-15, 15-13.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0116&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4PiMGTpW4 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan