Khamis, 10 November 2016

BADMINTON TERBUKA HONG KONG -- Rashid ke separuh akhir

ARKIB : 28/11/1998
PEMAIN Nusa Mahsuri, Rashid Sidek menjadi pemain tunggal negara mara ke pusingan separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Hong Kong di Stadium Tertutup Queen Elizabeth, semalam.

Rashid yang sebelum ini mengalami penurunan prestasi yang ketara menempah tiket ke separuh akhir kejohanan bernilai AS$170,000 (kira-kira RM646,000) setelah menewaskan pemain muda indonesia Johan Hadi Kusumah dalam straight-set.

Pemain berusia 30 tahun itu hanya mengambil masa 30 minit untuk menumpaskan Johan 15-11, 15-6 untuk bertemu seorang lagi pemain Indonesia, Budi Santoso, hari ini.

Kemaraan Rashid ke separuh akhir itu juga membuka kembali peluangnya untuk menempatkan diri dalam 14 pemain terbaik ranking Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF) ke Kejohanan Grand Prix Dunia di Brunei, Februari, depan.

Dua lagi pemain negara, Roslin Hashim dan Ismail Saman bagaimanpun tidak dapat meneruskan cabaran apabila tumpas kepada lawan masing-masing.

Roslin yang merupakan pemain skuad Sukan Asia tunggal berjaya melepasi pusingan ketiga kelmarin tunduk kepada pemain China, Chen Gang.

Juara Terbuka Belanda itu membuat permulaan yang baik dengan memenangi set pertama 15-9.

Namun Chen Gang bangkit untuk menang 15-4 pada set kedua bagi memaksa perlawanan diteruskan ke set penentuan memenangi set ketiga 15-7 dalam masa 75 minit.

Kekalahan itu sekali gus meranapkan sasaran Roslin menjuarai dua kejohanan tahun ini.

Sementara itu, pemain nombor satu dunia, Peter Gate Christensen nyata bukan saingan Ismail.

Ismail yang memenangi set pertama 15-10 terpaksa akur dengan prestasi Christensen yang merebut tiket ke pusingan separuh akhir setelah menang dua set berikutnya, 15-6, 15-5.

Dia yang dihubungi di Hong Kong bagaimanapun puas hati kerana berjaya memberi saingan dan memaksa Christensen bermain selama 69 minit sebelum menyerah kalah.

''Ini kali kedua saya bertemu Christensen dan saya dapat memberi persaingan sengit berbanding pertemuan pertama.

''Saya harap untuk bertemunya lagi dan memastikan permainan itu nanti memihak kepada saya,'' katanya.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1128&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4PbIS3wWd © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan