Sabtu, 12 November 2016

Badminton Terbuka Taiwan Rashid mara

ARKIB : 22/01/1999
BEKAS pemain nombor satu negara, Rashid Sidek, Roslin Hashim, Ong Ewe Hock dan pasangan beregu Cheah Soon Kit/Choong Tan Fook berjaya mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Taiwan selepas menewaskan pencabar masing-masing, semalam.

Rashid menang ke atas pemain Indonesia, Budi Santoso 15-12, 7-15, 17-15, Roslin menewaskan Ronny Agustinus 15-11, 15-9, Ewe Hock menang ke atas Kita Matsuda dari Jepun 15-6, 9-15, 15-13.

Manakala Soon Kit/Tan Fook menewaskan beregu Korea, Lee Dong Soon/Ha Tae Kwon 15-13, 9-15, 15-9.

Dua lagi pasangan beregu negara, Jeremy Gan/Chan Chong Ming dan Tan Kim Her/Rosman Razak bagaimanapun menerima nasib malang apabila tersingkir daripada persaingan.

Pada pertemuan dengan Budi, semalam, Rashid diberi tentangan sengit yang menyaksikan perlawanan berlanjutan sehingga rubber game. Rashid menang 15-12 pada set pertama, tetapi tewas 15-7 dalam set kedua.

Set ketiga menyaksikan pertarungan antara dua pemain itu bertambah sengit sehingga pada satu ketika Rashid mendahului Budi 8-1, tetapi Budi yang menewaskan jaguh Nusa Mahsuri itu pada separuh akhir Terbuka Hong Kong tahun lalu berjaya mengejar Rashid sehingga mendahului 14-13.

Rashid yang mempunyai misi membalas dendam ke atas Budi - yang muncul juara Terbuka Hong Kong itu - bangkit untuk mengutip mata berharga yang memaksa perlawanan berlanjutan ke deuce selepas kedudukan mata terikat 14-14.

Namun, pengalaman yang ada pada bintang Nusa Mahsuri itu membantunya untuk menang 17-15 untuk menempah tempat ke suku akhir.

Rashid akan menentang pemain muda China yang semakin meningkat naik, Chen Hong pada suku akhir, hari ini.

Chen Hong - yang dianggap Misbun bakal menggantikan kehebatan Dong Jiong atau Sun Jun suatu hari nanti - mengalahkan pemain Indonesia, Irwanshah pada pusingan ketiga.

''Saya jangka suku akhir antara Rashid dengan Chen Hong lebih sengit. Chen Hong bermain dengan strategi pantas dan mampu berlari ke segenap sudut gelanggang untuk mengembalikan bola, ia sesuatu yang sukar bagi Rashid tetapi saya percaya Rashid mampu menjinakkan pemain itu pada suku akhir nanti,'' kata jurulatih Misbun Sidek ketika dihubungi di Taiwan, semalam.

Misbun berkata, anak buahnya mempamerkan kesungguhan menakjubkan selepas gagal beraksi cemerlang pada Terbuka Korea.

''Rashid bermain bersungguh-sungguh yang menunjukkan dia benar-benar mahu membalas dendam di atas kekalahannya pada Terbuka Hong Kong, tahun lalu.

''Walaupun pada satu ketika dia hampir tewas pada set ketiga, tetapi semangat tinggi pemain itu menyatakan semuanya,'' ujar Misbun.

Mengenai Roslin, Misbun sudah menjangka pemain itu akan melepasi halangan pusingan ketiga itu.

''Roslin juga mempunyai misi balas dendam, tetapi pada suku akhir nanti apabila bertemu Kenneth Jonassen dari Denmark.

''Dia mahu menewaskan Kenneth yang pernah mengalahkannya pada Piala Thomas lalu,'' katanya.

Jika Rashid dan Roslin berjaya melepasi suku akhir, kedua-dua pemain itu akan bertarung sesama sendiri pada separuh akhir jika mengikut undian perlawanan.

Suber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0122&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4PoSdvC5h © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan