Sabtu, 30 April 2016

Chong Wei bikin Lin Dan merana

Oleh MOHD. IKHSAN FIRDAUS AZMI
 
CHONG WEI mara ke final Kejohanan Badminton Asia selepas menewaskan Lin Dan pada peringkat separuh akhir semalam.

JAGUH badminton negara, Datuk Lee Chong Wei mempamerkan aksi yang cemerlang untuk menewaskan seteru utamanya, Lin Dan 22-20, 15-21, 21-4 untuk mara ke final Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2016 di Wuhan, China hari ini.

Chong Wei membuktikan dia masih pencabar yang sukar untuk digugat selepas mempamerkan kebangkitan walaupun bermula dengan aksi hambar pada awal set pertama aksi separuh akhir itu.

Tersentak dengan kekalahan itu, Lin Dan mula memberikan saingan lebih baik dengan mengatur kembali corak permainannya sebelum mengheret perlawanan itu hingga ke set penentuan.

Bagaimanapun, set ketiga menyaksikan Chong Wei seperti berada dalam kelas tersendiri apabila sekadar membenarkan bintang China itu meraih empat mata sebelum dia menamatkan perlawanan.

Mengulas mengenai perlawanan itu, jurulatih perseorangan negara, Hendrawan berkata, perbincangan ringkas sebelum bermulanya set ketiga membantu pemain No. 2 dunia itu melihat perlawanan tersebut dengan lebih jelas.

“Seperti yang saya cakapkan semalam (kelmarin), perlawanan menentang Lin Dan lebih sengit terutama dari segi mental dan dia perlu bersabar, set pertama dan kedua mereka banyak bermain secara rali.

“Masa rubber set, kami ada berbincang supaya mula membuat keputusan dan cuba dengan lebih berani untuk menukar kelajuan dan tambah serangan dan ternyata strategi hari ini berhasil,” kata Hendrawan.

Sebagai rekod, ia merupakan kemenangan ke-11 Chong Wei ke atas pemain No. 3 dunia itu dalam 36 pertemuan sejak 2004.

Chong Wei yang merupakan wakil tunggal negara ke final hari ini akan bertemu seorang lagi bintang China yang juga pemain No. 1 dunia, Chen Long yang turut mara selepas menewaskan rakan sene­garanya, Tian Houwei 21-14, 21-16 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

“Bertemu Chen Long mungkin sama dengan Lin Dan kerana fokus masih kepada mental dan kesabaran, sebarang pertukaran strategi akan berdasarkan permainan di gelanggang.

“Seperti biasa, kemenangan ini tidak perlu diperbesar-besarkan, anggap kemenangan ini biasa sahaja tetapi apa yang penting kami mendapat sesuatu nilai positif untuk persiapan ke Sukan O­limpik,” ujar Hendrawan.




Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0501&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz47MlXYLma Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan