Sabtu, 8 Mac 2014

Chong Wei dalam undian strategik

18 Februari 2014
Lee Chong Wei
Lee Chong Wei Lee Chong Wei
KUALA LUMPUR - Jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei berada dalam undian strategik untuk merampas kejuaraan All-England 2014 yang akan berlangsung di National Indoor Arena, Birmingham, England pada 4-9 Mac depan.

Menurut undian yang dikeluarkan Badminton World Federation (BWF), Chong Wei turun selaku pemain pilihan utama dijangka akan membuat perhitungan semula dengan juara bertahan Chen Long dari China pada final.

Dalam undian kejohanan tersebut Chong Wei tidak berdepan masalah untuk menyingkirkan Tanongsak Saensomboonsuk dari Thailand pada perlawanan pusingan pertama.

Kemudian beliau dijadual akan menentang rakan sepasukan Chong Wei Feng atau Marc Zwiebler dari Jerman pada pusingan kedua sebelum berdepan dengan pencabarnya Du Pengyu dari China yang turun selaku pemain pilihan ketujuh dalam saingan suku akhir.

Bagaimanapun Du Pengyu dijangka akan menerima saingan sengit daripada pemain muda yang sedang meningkat naik Kento Momota dari Jepun untuk mara ke pusingan suku akhir.

Pada peringkat separuh akhir Chong Wei mungkin akan berdepan dengan pemain pilihan keempat Jan O Jorgensen dari Denmark ataupun pemain pilihan kelima Kenichi Tago dari Jepun.

Chong Wei merangkul kejuaraan All-England pada 2010 dan 2011.

Dalam pada itu Chen Long pula tidak berdepan masalah untuk melepasi pusingan pertama dan kedua apabila diundi bersama pemain bukan pilihan.

Di atas kertas, Chen Long dijangka akan berjumpa dengan pemain pilihan keenam Boonsak Poosana dari Thailand pada peringkat suku akhir kemudian akan menentang pemain pilihan ketiga Tommy Sugiarto dari Indonesia pada pusingan separuh akhir.

Sementara itu juara Terbuka Malaysia 2014, Goh V Shem-Lim Khim Wah memikul tugas berat apabila perlu menyingkirkan pilihan ketiga, Mathias Boe-Carsten Mogensen dari Denmark pada pusingan pertama dalam kategori beregu lelaki.

Sekiranya berjaya melepasi saingan pertama itu, V Shem-Khim Wah dijangka akan bertemu satu lagi beregu negara Mohd Zakry Abdul Latif-Mohd Fairuzizuan Mohd Tazari ataupun Gideon Markus Fernaldi-Marks Kido dari Indonesia pada pusingan kedua.

Kemudian V Shem-Khim Wah dijangka akan menentang satu lagi beregu negara yang juga pilihan kelima Hoon Thien How-Tan Wee Kiong pada pusingan suku akhir.

Menanti mereka pada separuh akhir ialah beregu pilihan pertama Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan dari Indonesia atau beregu pilihan kelapan Chris Adcock-Andrew Ellis dari England.

Dalam satu lagi saingan beregu lelaki, beregu pilihan kedua Hiroyuki Endo-Kenichi Hayakawa dari Jepun tidak berdepan masalah untuk melepasi pusingan pertama dan kedua.

Kemudian Hiroyuki Endo-Kenichi Hayakawa dijangka akan bertemu pilihan keenam Angga Pratama-Ryan Agung Saputra dari Indonesia pada pusingan suku akhir.

Menanti mereka pada pusingan separuh akhir ialah di antara beregu pilihan keempat Liu Xiaolong-Qiu Zihan dari China atau beregu pilihan ketujuh Lee Sheng Mu-Tsai Chia Hsin dari Taiwan.

Bagaimanapun beregu utama negara Koo Kien Keat-Tan Boon Heong tidak tersenarai dalam kejohanan All-England kali ini. – Bernama

SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan