Jumaat, 14 Mac 2014

Kim Hock tawar diri bantu BAM


 


Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my

YAP Kim Hock hadir di pejabat BAM, Buki Kiara semalam untuk hadir sesi temuduga jurulatih beregu kebangsaan.
KUALA LUMPUR - Pada ketika Datuk Misbun Sidek masih membisu mengenai tawaran yang dikemukakan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM), bekas jaguh beregu, Yap Kim Hock sebaliknya tampil menawar diri untuk membantu badminton negara.

Semalam, bekas ketua jurulatih kebangsaan itu hadir untuk sesi temuduga yang diketuai Presiden BAM, Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff bersama Setiausaha Agung, Ng Chin Chai dan Pengurus Besar BAM, Kenny Goh.

Melihat pengalaman yang dimiliki Kim Hock dan kekosongan yang ­ditinggalkan jurulatih dari Indonesia, Paulus Firman, Kim Hock, pemenang pingat perak Sukan Olimpik 1996 Atlanta dilihat cukup sesuai untuk digandingkan dengan Pang Cheh Chang membimbing beregu lelaki.

Menurut Kim Hock, beliau telah menghantar surat permohonan untuk menjadi jurulatih beregu lelaki skuad kebangsaan pada Disember tahun lalu dan semalam BAM telah memanggilnya untuk sesi temuduga yang berlangsung selama sejam lebih.

“Saya hanya memohon untuk menjadi jurulatih beregu lelaki sahaja dan tadi saya menerangkan kepada presiden apa yang boleh saya sumbangkan kepada BAM, terutama untuk menaikkan standard pemain kita," katanya.

Kim Hock, yang menjadi ketua jurulatih negara ­pada 2005-2008 menambah, pengalaman yang dimiliki sebagai pemain dan jurulatih boleh dimanfaatkan oleh skuad negara.

Keputusan mengenai permohonannya akan ditentukan dalam mesyuarat exco, Khamis depan.

“Saya ada banyak pengalaman dan pernah memohon jawatan ini namun tidak dapat.

“Saya tampil lagi kerana sekarang kita masih kekurangan jurulatih beregu lelaki, jadi saya cuba memohon semula.

“Saya mempunyai sasaran peri­badi ketika menjadi pemain iaitu meraih emas Olimpik, tetapi tidak pernah menang.

“Sekarang saya punya peluang untuk merealisasikannya dalam bidang kejurulatihan.

“Banyak perkara yang boleh dibuat kerana kita mempunyai pemain yang berkaliber dan berkualiti," katanya.

Kim Hock yang juga pernah menjadi ketua jurulatih Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) berkata, pemain seperti Tan Boon Heong adalah bertaraf dunia, cuma memerlukan pasangan yang betul untuk mencapai tahap sebagai juara Olimpik.

“Kita mempunyai program latihan yang konsisten dan saya rasa tidak ada masalah untuk saya mengulangi pencapaian ketika membawa Koo Kien Keat bersama Boon Heong ketika bekerjasama dengan jurulatih, Rexy Manaiky.

“Sekarang terpulang kepada BAM, saya memang tidak ada sebarang masalah dengan jurulatih sedia ada mahu pun pemain," katanya lagi.

Sementara itu, Chin Chai mengakui bahawa Misbun tidak memberi sebarang respons mengenai surat tawaran sebagai Pengarah Kejurulatihan yang dikemukakan kepadanya.

Kedudukan bekas ketua jurulatih beregu, Tan Kim Her juga akan dibincangkan dalam mesyuarat exco, minggu depan.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140315/su_01/Kim-Hock-tawar-diri-bantu-BAM#ixzz2vzHLCj00 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan