Sabtu, 18 Januari 2014

Kejutan V Shem-Khim Wah

Oleh Helmi Talkah 


Kuala Lumpur: Beregu lelaki nombor tiga negara, Goh V Shem-Lim Khim Wah bakal mencipta sejarah tersendiri jika berjaya menewaskan pasangan baru China, Chai Biao-Hong Wei di final Terbuka Malaysia yang akan berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil, hari ini.

V Shem-Khim Wah yang kali pertama menjejakkan kaki di pentas final kejohanan bertaraf Siri Super Premier mara selepas menundukkan pasangan Indonesia, Angga Pratama-Ryan Agung Saputra 23-25, 21-13, 22-20 manakala Chai Biao-Hong Wei menewaskan Hiroyuki Endo-Kenichi Hayakawa dari Jepun 21-12, 21-12 dalam aksi separuh akhir, semalam.


“Kami belum pernah bertemu dengan beregu China ini kerana mereka adalah pasangan baru. Apa pun, kami akan membuat persiapan terbaik untuk berdepan dengan mereka, yang penting adalah fokus kami sendiri.

“Keyakinan kami semakin meningkat dan kali ini kami harap cabaran kami tidak terhenti di final saja kerana kami mahu bergelar juara. Kami harap penonton yang hadir ke stadium terus beri sokongan seperti mana mereka lakukan hari ini (semalam),” kata Khim Wah.

Sebelum ini, pencapaian terbaik V Shem-Khim Wah yang digandingkan semula buat kali ketiga bulan lalu dengan menjuarai Grand Prix (GP) Emas Terbuka Malaysia, Mei tahun lalu selepas menewaskan rakan senegara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong.

SUMBER:BERITA  HARIAN ONLINE 19.1.14

Tiada ulasan:

Catat Ulasan