Isnin, 25 Julai 2016

Cheah, Yap naik tangga

ARKIB : 22/01/1998
HAMPIR sebahagian pemain negara berjaya memperbaiki ranking dunia masing-masing, selepas pencapaian memberansangkan pada Kejohanan Badminton Terbuka Jepun minggu lalu.

Dalam senarai terbaru yang dikeluarkan Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF) semalam, pasangan utama negara Cheah Soon Kit/Yap Kim Hock melonjak satu tangga dengan menduduki tangga kedua dunia.

Pasangan itu menjuarai Terbuka Jepun, yang merupakan sirkit pertama Grand Prix 1998, dengan menumpaskan pasangan Indonesia Denny Kantono/Budi Ariantho Antonius pada perlawanan akhir.

Soon Kit dan Kim Hock hanya 24 mata di belakang satu lagi beregu Indonesia Chandra Wijaya/Budiarto Sigit yang mengutip 352.28 mata untuk kekal sebagai beregu nombor satu dunia.

Kantono/Ariantho Antonius jatuh satu anak tangga daripada tempat kedua kepada kedudukan ketiga, sementara satu lagi pasangan Indonesia, Ricky Subagja/Rexy Mainaky berada di ranking keempat.

Satu lagi pasangan Malaysia, Choong Tan Fook/Lee Wan Wah turut memperbaiki kedudukan dengan melonjak dua anak tangga daripada ranking kesepuluh dengan menduduki tangga kelapan.

Bagi perseorangan lelaki, kedudukan teratas terus dikuasai oleh pemain muda Denmark, Peter Gade Christensen yang baru menjuarai Terbuka Jepun. Christensen mengatasi dua pemain China, Sun Jun dan Dong Jiong.

Manakala Ong Ewe Hock, menjadi pemain terbaik negara dengan menempatkan diri di ranking ke-14, melonjak tiga tangga daripada kedudukan ke-17.

Rashid, wakil tunggal negara di separuh akhir perseorangan Terbuka Jepun turut memperbaiki kedudukan dengan melonjak lapan anak tangga dari tempat ke-28 kepada 20.

Mohd. Roslin Hashim, yang mengejutkan tiga pemain ternama dunia Fung Permadi (Taiwan), Joko Suprianto (Indonesia) dan Sun Jun (China) berada di ranking 27 naik lima anak tangga. Yong Hock Kin memperbaiki kedudukan ke ranking 18 daripada 20 dunia.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0122&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4FQaia6s1 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan