Rabu, 27 Julai 2016

Soon Kit-Kim Hock diletak pilihan pertama


 

ARKIB : 05/03/1998
CHEAH Soon Kit (kiri) dan Yap Kim Hock menunjukkan pingat yang dimenangi selepas muncul juara beregu pada Kejohanan Terbuka Jepun, baru-baru ini.

LONDON - Beregu utama negara, Cheah Soon Kit dan Yap Kim Hock yang melangkah ceria ke tahun 1998 dengan memenangi Kejohanan Badminton Terbuka Jepun pada Januari lalu, diletakkan sebagai pilihan pertama beregu bagi Kejohanan Seluruh England yang akan berlangsung pada 10 hingga 14 Mac ini.

Kelebihan ini diberikan berikutan ketiadaan pasangan nombor satu dunia, Chandra Wijaya dan Sigit Budiarto yang menarik diri akibat kecederaan yang dialami Sigit.

Pasangan Indonesia, Ricky A Subagja/Rexy Mainaky, yang membayangi mereka sepanjang 1997 hanya disenaraikan sebagai pilihan ketiga, di belakang pasangan senegara yang lebih muda, Denny Kantono/Budi Ariantho Antonius.

Satu lagi pasangan negara, Choong Tan Fook/Lee Wan Wah pula diletakkan sebagai pilihan kelapan.

Dalam acara perseorangan lelaki, pemain muda Denmark, Peter Gade Christensen muncul pilihan pertama, manakala dua pemain China - Sun Jun dan pemenang pingat perak Sukan Olimpik, Dong Jiong, masing-masing diletakkan sebagai pilihan kedua dan ketiga.

Malaysia yang menaruh harapan - Ong Ewe Hock, Yong Hock Kin dan Rashid Sidek terpaksa berpuas hati dengan kedudukan pemain pada kejohanan itu yang agak meresahkan.

Ewe Hock yang merupakan pemain perseorangan pertama Malaysia kini hanya disenaraikan sebagai pilihan kesembilan, Yong menjadi ke-15, manakala Rashid satu anak tangga ke belakang.

Beberapa pemain lain, termasuk Mohamad Roslin Hashim, Wong Choong Hann, Wong Ewe Mun, Jason Wong, Ismail Saman turut bersaing bagi acara perseorangan lelaki pada pusingan kelayakan kejohanan ini.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0305&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4FcxKhCdS © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan