Rabu, 27 Julai 2016

Ranking Ewe Hock melonjak

ARKIB : 27/02/1998
ONG Ewe Hock, yang membantu Malaysia layak ke pusingan akhir badminton Piala Thomas di Hong Kong kembali dalam kelompok 10 pemain terbaik selepas ranking terbaru dunia dikeluarkan Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF) di London, semalam.

Ewe Hock, yang memenangi kesemua perlawanan pusingan kelayakan Zon Asia di Manila minggu lalu, kecuali pada pertemuan terakhir menentang Sun Jun dari China, melonjak lima anak tangga daripada tempat ke-15 ke tangga ke-10 selepas mengutip 294 mata menerusi acara berpasukan dengan purata 210.66.

Perseorangan kedua Malaysia, Yong Hock Kin, yang mengejutkan pemenang pingat perak Sukan Olimpik, Dong Jiong untuk mengutip mata tunggal negara pada pertemuan dengan China, bagaimanapun jatuh satu anak tangga ke tempat ke-19 meskipun meraih 264 mata daripada kejohanan berkenaan.

Bekas pemain nombor satu kebangsaan, Rashid Sidek turut memperbaiki kedudukan daripada tangga ke-25 kepada 20, manakala Roslin Hashim, pemain simpanan negara di Manila naik dua anak tangga di tempat ke-27.

Dua pemain yang gagal mendapat tempat dalam skuad di Manila, Wong Choon Hann dan Ismail Saman turun beberapa anak tangga.

Choon Hann jatuh lima anak tangga di tempat ke-31 sementara Ismail di tangga ke-41 selepas tergelongsor lima anak tangga.

Perseorangan utama Denmark, Peter Gade Christensen kekal di tangga teratas dunia, diikuti pemain China, Sun Jun di ranking kedua dan Dong Jiong tidak berganjak di tempat ketiga.

Dalam acara beregu lelaki, pasangan Cheah Soon Kit/Yap Kim Hock naik tangga kedua selepas memulakan cabaran di Manila sebagai beregu ketiga dunia. Pasangan negara itu kini berada di belakang penyandang juara dunia, Chandra Wijaya/Sigit Budiarto dari Indonesia.

Satu lagi pasangan negara, Tan Kim Her/Rosman Razak pula melonjak 12 anak tangga dengan menduduki ranking 21, manakala pasangan Choong Tan Fook/Lee Wan Wah yang tidak disenaraikan di Manila jatuh dua anak tangga di tempat kesembilan.

Dalam perseorangan wanita, hanya Lee Yin Yin berjaya menempatkan diri dalam kedudukan 50 terbaik dunia dengan berada di ranking ke-46, manakala Lim Pek Siah/Chor Hooi Yee di tempat ke-25.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0227&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4FbjDwCl7 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan