Rabu, 27 Julai 2016

Malaysia layak ke Hong Kong -- Piala Thomas

ARKIB : 22/02/1998
MALAYSIA mengesahkan tempat ke pusingan akhir Piala Thomas di Hong Kong Mei ini selepas menumpaskan Korea Selatan 5-0 pada separuh akhir kelayakan zon Asia di Pasiq City, Manila, semalam.

Berbekalkan kejayaan berterusan sehingga muncul juara kumpulan Y, skuad negara terus mengekalkan aksi cemerlang untuk mengetepikan Korea Selatan.

Selepas menumbangkan Thailand 5-0, Singapura (5-0) serta Jepun 4-1 untuk muncul juara kumpulan Y, pertemuan dengan Korea Selatan seolah-olah bukan lagi penghalang buat Malaysia mengejar impian ke Hong Kong.

Pada pertemuan semalam, Ong Ewe Hock yang membuka cabaran selaku pemain perseorangan pertama, mengutip mata awal negara apabila menewaskan Jang Chun Woong dengan straight set 15-5, 15-5.

Slot pertemuan kedua perseorangan yang diisi oleh Yong Hock Kin yang menentang Yim Bong Eun juga tidak menghampakan apabila Hock Kin mudah menyingkirkan lawannya itu.

Dia yang meninggalkan jauh lawannya itu pada set pertama dengan kemenangan 15-3, terus memberi tekanan dan menutup tirai cabaran dengan 15-1 pada set berikutnya.

Dalam pada itu, Rashid Sidek yang diletakkan sebagai perseorangan ketiga menceriakan skuad Piala Thomas negara apabila mengutip mata kemenangana ke atas Jun Jong Bae dengan 15-5, 15-2.

Beregu utama negara, Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock juga beraksi cemerlang untuk mengetepikan cabaran Hwang Sun Ho-Yoo Yong Soon dengan 15-8, 15-5.

Mata penuh Malaysia diraih oleh pasangan Rosman Razak-Tan Kim Her yang menumbangkan Yim Bong Eun-Jun Jong Bae dengan 15-9, 15-1.

Kemenangan ini mempertemukan Malaysia dengan China pada perlawanan akhir kelayakan ini. China sebelum itu mengalahkan Jepun 5-0 pada satu lagi separuh akhir.

Pemain perseorangan pertamanya, Sun Jun tidak menghadapi sebarang masalah apabila menewaskan pemain Jepun, Keita Masuda 15-4, 15-4.

Mata kedua China diraih menerusi Luyo Yigang yang mengalahkan Fumihiko Machida 15-9, 15-2, manakala Chen Gang mengutip mata kemenangan selepas menewaskan Yuzo Kubota 15-1, 17-14.

Kedudukan 3-0 itu belum cukup buat China yang terus membelasah Jepun dan kedua-dua pasangan negara itu melakukan tugas penuh bergaya untuk dua lagi mata.

Liu Yong yang digandingkan dengan Zhang Wei memastikan mata seterusnya apabila menumpaskan pasangan, Shinji Ohta-Keita Masuda 15-6, 15-5.

Manakala Ge Cheng-Tao Xiaqiang pula mengalahkan Seiichi Watanabe-Tadashi Ohtsuka 15-4, 15-1.

KEPUTUSAN

Piala Thomas

Separuh akhir kelayakan zon Asia

MALAYSIA 5 KOREA SELATAN 0

Ong Ewe Hock kln Jang Chun Woong 15-5, 15-5; Yong Hock Kin kln Yim Bong Eun 15-3, 15-1

Rashid Sidek kln Jun Jong Bae 15-5, 15-2; Cheah Soon Kit/Yap Kim Hock kln Hwang Sun Ho/Yoo Yong Sung 15-8, 15-5; Razak Rosman/Tan Kim Her kln Yim Bong Eun/Jun Jong Bae 15-9, 15-1.

CHINA 5 JEPUN 0

Sun Jun kln Keita Masuda 15-4, 15-4; Luo Yigang kln Fumihiko Machida 15-9, 15-2; Chen Gang kln Yuzo Kubota 15-1, 17-14; Liu Yong/Zhang Wei kln Shinji Ohta/Keita Masuda 15-6, 15-5; Ge Cheng/Tao Xiaqiang kln Seiichi Watanabe/Tadashi Ohtsuka 15-4, 15-1.

JADUAL HARI INI

Akhir

MALAYSIA lwn CHINA

Tempat ketiga dan keempat

KOREA SELATAN lwn JEPUN

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0222&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4FazEnCnD © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan