Rabu, 27 Julai 2016

Malaysia uji Korea Selatan

 ARKIB : 21/02/1998
MALAYSIA mencapai kemenangan mutlak dalam Kumpulan Y pusingan kelayakan badminton Piala Thomas di Palig City, Manila apabila menewaskan Jepun 4-1 pada perlawanan ketiga kumpulan, semalam.

Kemenangan itu mengesahkan skuad negara sebagai juara kumpulan daripada empat pasukan. Malaysia akan menentang Korea Selatan pada separuh akhir, hari ini.

Kecuali pasangan muda Chan Chong Meng-Jeremy Gan yang membuat penampilan pertama dalam Piala Thomas tetapi tumpas kepada lawan semalam, kesemua pemain perseorangan dan satu lagi beregu menang mudah untuk menyumbang kejayaan berturut-turut buat negara.

Ong Ewe Hock yang direhatkan pada perlawanan menentang Singapura kelmarin, tidak menghadapi masalah untuk menang 15-2, 15-9 ke atas Keita Masuda bagi mengutip mata sulung skuad negara.

Rashid Sidek yang turun sebagai pemain perseorangan kedua, turut cemerlang apabila menundukkan Rumihiko Machida 15-5, 15-4.

Begitupun, Roslin Hashim diberi tentangan sengit oleh Yuzo Kubota pada perseorangan ketiga sebelum berjaya menyumbang kegagahan skuad negara dengan kemenangan 15-10, 15-6.

Menyedari cabaran Jepun tidak segetir pasukan lain, beregu utama negara, Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock kali ini tidak diturunkan sebaliknya tempat mereka diisi oleh pasangan Rosman Razak-Tan Kim Her.

Rosman-Kim Her, pertaruhan terakhir skuad negara pada dua perlawanan kumpulan terdahulu, terpaksa berhempas pulas sebelum menang 15-7, 15-11 ke atas pasangan Fumihiko Machida-Keita Masuda.

Sesudah gagah menumbangkan Thailand 5-0 dan Singapura dengan angka yang sama pada perlawanan terdahulu, Malaysia gagal meneruskan kecemerlangan mengutip mata penuh apabila pasangan terakhir negara, Chong Meng-Jeremy kecundang.

Biarpun turun dengan penuh semangat, pengalaman cetek beregu muda negara itu menyaksikan kehebatan Seiichi Watanabe-Tadashi Ohtsuka mengatasi mereka dengan kemenangan 15-11, 15-9.

Dalam pada itu, skuad Piala Uber negara yang sudah terkeluar daripada persaingan ke pusingan akhir di Hong Kong Mei ini, terus dirundung malang apabila mengalami kekalahan kali ketiga.

Selepas cemerlang menumpaskan Sri Lanka dan India, skuad negara gagal menyaingi kehebatan Jepun, China dan yang terbaru, New Zealand dengan 2-3.

Aksi hambar bermula apabila perseorangan pertama, Lee Yin Yin tewas mudah 4-11, 1-11 kepada Li Feng, diikuti Law Pei Pei yang tunduk kepada Rhona Robertson 4-11, 4-11. Begitupun, ketinggalan 2-0 tidak melemahkan Woon Sze Mei yang turun selaku perseorangan ketiga.

Pemain muda berusia 21 tahun itu berjaya menyekat kemaraan New Zealand apabila mengutip mata pertama negara dengan kemenangan 1-11, 11-1, 11-6 ke atas Rebecca Gordon.

Kemenangan Sze Mei nyata memberi suntikan semangat buat beregu utama negara, Lim Pek Siah-Chor Hooi Yee yang beraksi cemerlang menumpaskan Li Feng-Sheree Jefferson 15-12, 15-6.

Bagaimanapun, terikat 2-2 belum menjamin kemenangan mutlak negara sebaliknya pertaruhan terakhir yang diletakkan di bahu Norhasikin Amin-Joanne Quay terkulai.

Mata kemenangan yang diharapkan lebur apabila pasangan itu tewas 18-16, 11-15, 7-15 kepada pasangan Rhona Robertson-Tammy Jenkins untuk New Zealand menang 3-2.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0221&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4FadIXX3C © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan