Khamis, 28 Julai 2016

Ewe Hock singkir Christensen


 

ARKIB : 13/03/1998

ONG EWE HOCK

BIRMINGHAM - Pemain perseorangan pertama dan kedua Malaysia, Ong Ewe Hock dan Yock Hock Kin memperkukuhkan kedudukan dan pengalaman antarabangsa mereka dengan mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Seluruh England.

Kejayaan Ong yang diperolehi dengan menyingkirkan pemain pilihan pertama, Peter Gade Christensen, turut menggembirakannya kerana dapat membalas dendam terhadap kekalahannya di tangan pemain Denmark itu sebelum ini.

Ong tewas kepada Christensen pada peringkat suku akhir Terbuka Jepun Januari lalu dan pemain Denmark itu seterusnya mara untuk memenangi kejohanan tersebut.

Kelmarin, Ong menewaskan Christensen dalam perlawanan tiga set selama 68 minit yang berakhir dengan keputusan 15-8, 8-15, 15-9.

Ini kali kedua mereka bertemu dan keputusan terbaru ini menjadikan kedudukan 1-1.

''Saya turun ke gelanggang dengan azam untuk menang dan saya yakin akan menang," kata Ong.

Lawan Ong pada suku akhir ialah Heryanto Arbi, juara Seluruh England 1993 yang juga ditewaskan oleh Christensen pada separuh akhir Terbuka Jepun Januari lalu. Kali terakhir Ong bertemu Heryanto ialah pada Sukan SEA di Jakarta tahun lalu yang memberikan kemenangan kepada pemain Indonesia itu.

Yong pula mara ke suku akhir dengan menewaskan pemain India, Pulella Gopichand 15-8, 15-3 untuk bertemu pemain pilihan ketiga dari China, Sun Jun yang menundukkan pemain muda Malaysia, Wong Chong Hann pada pusingan ketiga.

Bekas naib juara Seluruh England 1986, Misbun Sidek yang berada di sini sebagai pengurus dan jurulatih para pemain kumpulan Nusa Mahsuri, memberikan peluang 50-50 kepada dua pemain Malaysia itu.

Menurut Misbun, tidak ramai pemain yang dapat menguasai shuttle di Birmingham kerana udara dan cuaca menjadikannya lebih berat dan terlalu laju apabila dipukul.

''Heryanto adalah di antara pemain yang saya perhatikan dapat menguasai shuttle di Birmingham bersama Frost, tetapi permainan Ong pula semakin meningkat.

''Yong juga semakin maju dan dia juga boleh membuat keputusan di luar dugaan,'' kata Misbun yang kecewa kerana tiga pemain Nusa Mahsuri gagal mara ke suku akhir.

Adiknya Rashid Sidek tewas sekali lagi kepada pemain China, Luo Yigang dalam perlawanan pusingan ketiga dengan keputusan 15-3, 15-5.

Persembahannya yang tidak bermaya amat menghampakan kira-kira 40 pelajar Malaysia yang datang ke National Indoor Arena untuk memberikan sokongan.

Menurut Misbun, Rashid tidak berupaya bermain baik kerana mengalami semula kecederaan otot paha (hamstring) kanannya.

Apa yang menarik, katanya, Rashid mula mengalami kecederaan otot paha itu ketika bermain dengan Luo pada separuh akhir Terbuka Jepun yang berakhir dengan kekalahan pemain Malaysia itu.

''Kecederaan hamstring memerlukan rehat antara tiga hingga empat bulan, tetapi dia bermain pada pertandingan kelayakan Piala Thomas di Filipina dan di sini,'' katanya.

Misbun berharap adiknya pulih sepenuhnya sebelum kejohanan akhir Piala Thomas di Hong Kong pada 15 hingga 24 Mei.

Dua lagi pemain Nusa Mahsuri, Ismail Saman dan Roslin Hashim ditewaskan oleh pemain-pemain Indonesia. Ismail dikalahkan oleh H. Hendrawan pada pusingan ketiga, manakala Roslin Hashim tewas kepada Ardy Wiranata pada pusingan kedua.

Dalam acara beregu, Choon Tan Fook dan Lee Wan Wah merupakan pasangan tunggal Malaysia yang mara ke suku akhir dengan menewaskan pasangan Scotland, Kenny Middlemiss dan Russell Hogg dalam pusingan ketiga. Mereka akan bertemu pasangan China, Yang Ming dan Zhang Jun yang tidak disenaraikan sebagai pemain pilihan pada kejohanan ini. - Utusan.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0313&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4Fho8jUaH © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan