ARKIB : 21/01/1998
MENYEDARI hakikat bahawa beregu
memainkan peranan penting dalam Piala Thomas, Malaysia membariskan 21 kombinasi
sebagai persiapan untuk pasukan negara.
Pengarah Kejurulatihan
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Morten Frost Hansen yang mengakui terdapat
jurang yang besar antara beregu utama negara Cheah Soon Kit/Yap Kim Hock dan
pasangan lain, berkata mereka tidak boleh mengharapkan ''keajaiban''.
''Kita harus mengambil kira
soal kecederaan dan kerana itu kita harus memikirkan gandingan-gandingan lain.
Katakan Kim Hock tercedera, kita perlu mencari seseorang pemain yang boleh
digandingkan dengan Soon Kit,'' katanya selepas sesi latihan bersama pemain-pemain
BAM dan Nusa Mahsuri di Kuala Lumpur semalam.
Latihan yang diadakan di Kelab
Kilat itu dihadiri oleh semua pelatih negara untuk pusingan kelayakan Piala
Thomas di Manila bulan depan kecuali Soon Kit dan Kim Hock, yang baru sahaja
memenangi Terbuka Jepun, pemain perseorangan negara, Rashid Sidek yang layak ke
separuh akhir kejohanan yang sama.
Frost berkata senario serupa
juga berlaku di peringkat antarabangsa kerana terdapat jurang yang besar antara
enam pasangan beregu terbaik dunia dengan pasangan beregu yang lain.
Beliau berkata buat masa ini
Indonesia mempunyai tiga gandingan mantap sementara Korea Selatan memiliki dua
pasangan beregu dan Malaysia serta Denmark masing-masing hanya mempunyai satu
pasangan beregu yang baik.
''Bagaimanapun kebolehan
pasangan China tidak boleh dipandang ringan kerana mereka mempunyai satu
pasangan yang kian meningkat...saya lihat mereka bermain semasa di Terbuka
Jepun dan mereka benar-benar baik,'' kata Frost.
Antara pasangan beregu yang
masih mengintai tempat dalam skuad negara untuk kempen Piala Thomas ialah Lee
Wan Wah/Choong Tan Fook, Tan Kim Her/Rosman Razak dan Chew Choong Eng/Lee Chee
Leong.
Frost berkata sukar untuk
menguji pasangan baru dalam masa terdekat ini.
Walaupun pasangan Soon Kit dan
Kim Hock baru sahaja digandingkan semula dua bulan lepas tetapi mereka
mempamerkan aksi yang memberangsangkan berbanding dengan pasangan negara yang
lain termasuk Wan Wah dan Tan Fook yang dijangka membawa cabaran sebagai
pasangan beregu kedua negara.
Jurulatih dari Denmark itu
berkata beliau telah membuat perkiraan tentang empat pemain perseorangan serta
tiga pasangan beregu untuk pusingan kelayakan itu tetapi keputusan akhir hanya
diketahui Khamis ini. - Bernama.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0121&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4FQSo3z9c
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan