Selasa, 26 Julai 2016

Ranking pemain senjata Malaysia

A1998
ARKIB : 07/02/1998
KEJUTAN dalam pemilihan skuad ke kejohanan badminton kelayakan Piala Thomas di Manila 15 hingga 22 Februari ini dilihat sebagai senjata utama negara untuk melayakkan diri ke pusingan akhir di Hong Kong, Mei depan, NORZIE MOHD. KHASBI melaporkan.

Barisan yang tidak diduga mampu mengelirukan pasukan lawan dan penyusunan pemain mengikut ranking dunia adalah salah satu strategi yang paling berkesan.

''Prospek untuk melihat pasukan negara beraksi di Hong Kong, amat cerah,'' kata pakar beregu negara, Yap Kim Hock ketika dihubungi semalam.

''Pemilihan pemain yang amat mengejutkan membuat mereka turut tersentak, kita ada kelebihan dalam menyusun strategi selain kemampuan pemain sendiri.''

Kenyataan Kim Hock merujuk kepada pemilihan beregu muda Jeremy Gan/Chan Chong Ming menyingkirkan pasangan nombor lapan dunia Choong Tan Fook/Lee Wan Wah untuk membarisi skuad buat julung kali.

Kemasukan pasangan Rosman Razak/Tan Kim Her melengkapkan skuad 'penuh kejutan' yang akan beraksi pada kelayakan Piala Thomas nanti.

''Mulanya saya meragui keupayaan Jeremy dan Chong Ming tetapi selepas melihat aksi mereka pada sesi latihan, saya kembali bersemangat.''

''Menjadi rakan sparring kepada mereka menyedarkan saya beregu ini setanding Tan Fook/Wan Wah. Saya fikir kebanyakan pencabar kami kurang pengetahuan tentang pasangan ini dan ia satu kelebihan.''

Menurut Kim Hock lagi, kelebihan Malaysia juga cukup jelas dalam perseorangan lelaki. Kedudukan Rashid Sidek sebagai perseorangan ketiga mampu memerangkap Thailand, yang dianggap pencabar utama.

''Penyusunan berdasarkan ranking dunia menyebabkan kedudukan pemain tidak menentu. Ia pasti mengelirukan pasukan lawan dalam menyusun strategi,'' katanya lagi.

Berada di posisi perseorangan utama adalah Ong Ewe Hock, sementara Yong Hock Kin mengambil kedudukan perseorangan kedua diikuti Rashid di tempat ketiga dan Roslin Hashim dalam senarai simpanan.

Kim Hock dan pasangannya Cheah Soon Kit pula mengetuai cabaran beregu, Rosman/Kim Her beregu kedua dan Jeremy/Chong Ming beregu ketiga.

''Pada saya pemilihan skuad kali ini adalah percubaan berani oleh pihak pengurusan, tetapi saya optimis pemain yang dipilih memang layak.

''Tanpa sebarang kecederaan mana-mana pemain serta prestasi dan stamina di tahap tertinggi kami mampu menumpaskan sesiapa saja.

''Pada saya Malaysia sudahpun menempah tiket di Hong Kong dan Manila hanya pelengkap jadual,'' katanya yakin.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0207&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4FVHQv4rY

© Utusan Melayu (M) BhdARKIB : 14/01/1998

Tiada ulasan:

Catat Ulasan