Isnin, 25 Julai 2016

Kempen terakhir Rashid

ARKIB : 06/02/1998
PEMAIN veteran Rashid Sidek sudah mula membayangkan pembabitannya dalam kempen badminton Piala Thomas tahun ini sebagai yang terakhir buatnya sambil berazam membantu Malaysia layak ke Pusingan Akhir di Hong Kong Mei ini.

Rashid, 29, bagaimanapun tidak menolak kemungkinan kemampuannya untuk turut disenaraikan ke dalam skuad pada tahun 2000 nanti tetapi tugasnya mungkin sekadar sebagai pemain simpanan sahaja.

''Ramai pemain muda dalam skuad kebangsaan sekarang yang mampu membawa cabaran dalam kejohanan berpasukan paling berprestij itu. Oleh itu, saya rasa penyertaan saya dalam skuad 2000 nanti mungkin sebagai pemain simpanan sahaja,'' katanya selepas menjalani latihan bersama pemain-pemain Persatuan Badminton Malaysia (BAM) di Dewan Tenaga Nasional, Bangsar, di Kuala Lumpur, semalam.

Pemain utama Nusa Mahsuri itu yang kini menduduki tangga ke-28 dalam ranking dunia berkata beliau tidak kisah bermain sebagai perseorangan ketiga pada pusingan kelayakan di Manila dari 15 hingga 22 Feb ini tetapi yang penting membantu pasukan negara layak ke Hong Kong.

''Mengikut ranking sekarang, memanglah saya akan bermain sebagai perseorangan ketiga kecuali jika Ong Ewe Hock atau Yong Hock Kin direhatkan. Tetapi itu bukanlah masalah utama, cuma yang penting kita mara ke Pusingan Akhir,'' katanya.

Kempen Piala Thomas kali ini adalah yang ketujuh berturut-turut buat Rashid sejak kali pertama disenaraikan sebagai pemain simpanan pada 1986 di Jakarta.

Beliau mula mencipta nama dengan membantu Malaysia muncul naib juara dengan bermain sebagai perseorangan ketiga dua tahun kemudian di sini dan sejak 1990 sehingga dua tahun lepas di Hong Kong, tempatnya sebagai pemain perseorangan tidak tergugat.

1992 adalah tahun paling cemerlang buat Rashid yang membantu Malaysia merampas gelaran Piala Thomas selepas 25 tahun di samping meraih beberapa gelaran antarabangsa lain manakala kempen di Hong Kong dua tahun lepas adalah yang terburuk dan mahu dilupakannya.

''Saya mengalami kecederaan hamstring (otot) pada separuh akhir Terbuka Jepun tetapi kini sudah pulih sepenuhnya dan akan memberikan yang terbaik buat negara di Manila nanti. Saya jangkakan China sebagai pencabar utama yang perlu disegani,'' katanya.

Rashid membuka lembaran tahun 1998 dengan menyakinkan apabila layak ke separuh akhir Terbuka Jepun bulan lepas walaupun beraksi sebagai pemain bukan pilihan sebelum kemaraannya disekat pemain muda China, Luo Yigang. - Bernama.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0206&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4FUkGED00 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan