ARKIB : 17/03/1998
KEBANGGAAN NEGARA... Dr. Siti
Hasmah Mohd. Ali membelek pingat naib juara Kejohanan Seluruh England yang
dimenangi oleh Ong Ewe Hock, Sabtu lalu setibanya di Subang, semalam. - Gambar
ZULKARNAIN SAIDIN.
PERSEMBAHAN cemerlang beberapa
pemain negara pada Kejohanan Badminton Seluruh England lalu belum cukup
menjamin kedudukan mereka untuk terus mewakili negara ke Piala Thomas di Hong
Kong.
Pengarah Kejurulatihan
Malaysia, Morten Frost Hansen berkata, persaingan kini masih terbuka kepada
semua pemain sehinggalah pemilihan terakhir dibuat menjelang pusingan akhir
kejohanan itu, Mei nanti.
Kenyataan Frost ini sekali gus
tidak mengecualikan ayam tambatan perseorangannya, Ong Ewe Hock biarpun dia
muncul naib juara Seluruh England selepas tewas kepada Sun Jun di Birmingham,
dua hari lalu.
''Begitu juga pasangan Choong
Tan Fook-Lee Wan Wah yang berjaya mara ke separuh akhir Seluruh England.
''Saya tidak boleh katakan
mereka sudah pasti merampas semula tempat beregu kedua negara daripada Jeremy
Gan-Chan Chong Ming dan Rosman Razak-Tan Kim Her walaupun pencapaian Tan
Fook-Wan Wah ternyata lebih baik,'' katanya.
Tan Fook-Wan Wah cuma
digagalkan oleh pasangan Korea, Lee Dong Soo-Yoo Young Sung pada separuh akhir
sementara Ewe Hock dengan bergaya menumbangkan dua pemain ternama dunia, Peter
Gade-Christensen dan Heryanto Arbi sebelum menyerah kepada Sun Jun dalam
perlawanan akhir.
Frost berkata, skuad negara
masih ada banyak masa untuk mengkaji semula prestasi semua pemain dalam latihan
pusat bagi menghadapi Piala Thomas, tidak lama lagi.
''Bagaimanapun, kita perlu
bertolak ansur untuk membenarkan mereka berehat sehingga Khamis depan selepas
mengharungi persaingan yang mencabar di Eropah (Terbuka Sweden dan Seluruh
England.
''Dalam pada itu, untuk tidak
membebankan mereka, kita mungkin hanya menghantar pemain pelapis remaja bagi
menghadapi Terbuka Brunei yang bermula 8 hingga 12 April ini,'' kata Frost
setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz Shah, Subang,
semalam.
Ditanya mengenai persaingan
Piala Thomas di Hong Kong nanti, Frost menjelaskan, peluang Malaysia kini sudah
setanding dengan China dan Indonesia setelah melihatkan kemampuan skuad negara
memiliki banyak pilihan bagi pemain perseorangan.
''Selain Ewe Hock, saya berani
jamin kita kini cukup kuat dengan menyandarkan harapan kepada Yong Hock Kin,
Rashid Sidek dan Roslin Hashim serta Wong Ewe Mun,'' jelasnya.
Sementara itu, Frost sukar
untuk menilai persembahan Rashid yang tersungkur lebih awal pada pusingan
ketiga Seluruh England kerana pemain itu terpaksa beraksi dalam keadaan masih
mengalami kecederaan.
''Apapun, saya tidak fikir
pencapaian pemain perseorangan Indonesia ketika Seluruh England dianggap
menggambarkan kemampuan sebenar pasukan itu kerana ramai jaguh mereka tidak
mengambil bahagian,'' ujar Frost lagi.
Tambahnya, tanpa Joko Suprianto
dan Marleve Mainaky ketika itu membuatkan Indonesia mampu mencipta kejutan pada
Piala Thomas di Hong Kong nanti selain saingan getir daripada China.
Oleh: ABDUL HAFIZ AHMAD
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0317&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4Fi4dMm3C
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan