Sabtu, 23 Julai 2016

Soon Kit-Kim Hock di tempat keempat

ARKIB : 03/01/1998
PASANGAN beregu utama negara, Cheah Soon Kit dan Yap Kim Hock berjaya menamatkan 1997 dengan kedudukan yang baik dalam ranking iaitu di tempat keempat.

Dalam ranking dunia terbaru yang dikeluarkan oleh Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF), Soon Kit-Kim Hock berada di belakang juara dunia Chandra Wijaya-Sigit Budiarto dari Indonesia, Lee Dong Soo-Yoo Yong Sung dari Korea Selatan dan satu lagi pasangan Indonesia, Ricky Subagja-Rexy Mainaky.

Pasangan itu tewas kepada Chandra-Sigit di perlawanan akhir Grand Prix Dunia di Jakarta dua minggu lepas, iaitu kejohanan kedua bagi mereka setelah lama tidak bermain apabila Kim Hock mengalami kecederaan di bahu semasa Kejohanan Dunia di Glasgow, tujuh bulan lepas.

Soon Kit-Kim Hock mengumpulkan 284.37 mata daripada lapan kejohanan, sementara Chandra-Sigit jauh di depan dengan 336. 80 mata.

Satu lagi pasangan beregu Malaysia di 10 tempat teratas ialah Choong Tan Fook dan Lee Wan Wah, sementara Tan Kin Her-Rosman Razak di tempat ke-35, sementara Chew Choon Eng-Lee Chee Leong di tempat ke-39.

Dalam perseorangan lelaki, Ong Ewe Hock, yang dijangka beraksi sebagai pemain perseorangan utama Malaysia di kempen Piala Thomas pada Februari, menduduki tempat ke-17, diikuti oleh Yong Hock Kin satu tangga di bawah.

Pemain muda Wong Choon Hann, pemain tunggal Malaysia untuk memenangi acara Grand Prix tahun lepas di terbuka Belanda menduduki tempat ke-28, sementara bekas pemain nombor satu negara, Rashid Sidek di tempat ke-30.

Walaupun memenangi kejohanan akhir Grand Prix, Sun Jun dari China menduduki tangga ketiga di belakang pemain utama Denmark, Peter Gade Christensen dan rakan senegara, Dong Jiong di ranking yang dikemaskini pada setiap hujung tahun itu.

Perkara yang lebih kurang sama berlaku di perseorangan wanita dengan Susi Susanti dari Indonesia yang tewas dalam perlawanan akhir Grand Prix Dunia menduduki tempat teratas, sementara pemenang di kejohanan itu, Ye Zhaoying ditempatkan di tangga kedua.

China juga menduduki tempat teratas beregu wanita dan beregu campuran melalui juara dunia dan pemenang perlawanan akhir Grand Prix masing-masing melalui Ge Fei-Gu Jun dan Liu Yong-Ge Fei. - Bernama.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0103&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4FDFfeUbW © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan