Rabu, 27 Julai 2016

Peniup semangat

ARKIB : 28/02/1998
 
LEPASKAN LELAH... Perseorangan utama negara, Ong Ewe Hock (kiri) dan beregu Choong Tan Fook berehat seketika selepas menjalani latihan di Akademi Badminton Negara, Kuala Lumpur semalam. - Gambar ZAINAL ABIDIN IBRAHIM.

PASANGAN badminton negara, Tan Kim Her/Rosman Razak terkejut selepas mengetahui senarai terbaru ranking dunia yang dikeluarkan Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF) di London, kelmarin.

Beregu kedua negara pada kelayakan Piala Thomas itu menyifatkan lonjakan 12 anak tangga daripada tempat ke-33 ke ranking 21 dunia sebagai peniup semangat menjelang kejohanan Seluruh England Mac depan.

''Kami semakin yakin untuk memberi cabaran di peringkat antarabangsa,'' kata Rosman ketika ditemui selepas sesi latihan di Akademi Badminton Negara, Kuala Lumpur semalam.

''Lonjakan 12 anak tangga adalah kejayaan yang cukup besar dan kami akan bekerja keras untuk memperbaiki ranking dari masa ke semasa.''

Rosman, 22, menganggap peluang beraksi pada kelayakan Piala Thomas di Manila sebagai pendorong kepada peningkatan mendadak itu.

''Terima kasih kepada mereka yang memberi kesempatan kepada kami beraksi di sana. Selain mendapat pendedahan, ia juga membantu kami memperbaiki ranking,'' katanya.

Bagaimanapun, Kim Her meminta tempoh dua tahun lagi untuk meletakkan mereka sebagai salah satu beregu terbaik di dunia. ''Masih terlalu awal untuk kami berada dalam kelompok 10 beregu terbaik dunia,'' katanya.

''Kami meletakkan sasaran melayakkan diri ke suku akhir Terbuka Sweden dan Seluruh England. Sekiranya sasaran itu tercapai kami mampu melonjak dalam kedudukan 16 terbaik dunia.''

Sementara itu, beregu Choong Tan Fook/Lee Wan Wah, yang tersisih dari skuad di Manila tidak menganggap kemerosotan dua anak tangga ke kedudukan kesembilan sebagai peluntur semangat.

''Naik turun ranking adalah perkara biasa dan kami akan terus memberi persembahan terbaik walau apa kedudukan sekalipun.

''Kami tidak mahu melepaskan peluang di Seluruh England untuk mengembalikan keyakinan jurulatih dan kami akan bekerja lebih keras untuk memperbaiki ranking,'' kata Tan Fook.

Menurut Tan Fook, penyisihan dari skuad kelayakan Piala Thomas serta kemerosotan ranking dunia diambil sebagai satu cabaran.

''Kami lebih bersemangat dan jangan kata kami sudah putus asa. Suku akhir mungkin sasaran terbaik kerana Seluruh England membariskan kehadiran kebanyakan beregu terbaik dunia.''

Perseorangan utama negara, Ong Ewe Hock menganggap ranking dunia sebagai sekadar pencetus semangat, tetapi tidak dapat membantu pemain menghadapi persaingan sebenar.

''Kalau kita pemain nombor satu dunia sekalipun, tetapi tidak bermain dengan baik kita akan gagal juga. Yang penting sekarang yakin pada diri sendiri dan memberi yang terbaik,'' katanya.

Oleh: NORZIE MOHD. KHASBI

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0228&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4Fbpkf6SL © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan