ARKIB : 14/01/1998
TOKYO _ Enam pemain
perseorangan lelaki negara melayakkan diri ke pusingan kedua selepas
menumpaskan pencabar masing-masing pada Kejohanan Badminton Terbuka Jepun di
sini, semalam.
Roslin Hashim membuat kejutan
apabila menewaskan pemain pilihan kesembilan, Fung Permadi dengan kemenangan
straight set 15-5, 15-11.
Fung menjadi pemain pilihan
yang paling awal tersingkir dalam persaingan awal pada kejohanan yang
menawarkan wang tunai 200,000 dolar ini.
Kemenangan ini menyaksikan
Roslin terpaksa berdepan pula dengan bekas juara dunia, Joko Suprianto dari
Indonesia yang baru menamatkan persaingan sengit dengan pemain Jepun, Shuichi
Nakao untuk kemenangan straight-set.
Joko yang kini menduduki tangga
ke-24 dunia terpaksa berhempas-pulas untuk mengesahkan kemenangan pada set
pertama dengan tambahan tiga mata sebelum menang 17-14 dan 15-11 pada set kedua
dalam perlawanan yang berlangsung selama 49 minit.
Dalam pada itu, Yong Hock Kin
yang diletakkan sebagai pilihan kesembilan berjaya mengalahkan seorang lagi
pemain Taiwan, Chang Jeng-shyuang 15-5, 15-2.
Rashid Sidek, Ong Ewe Hock,
Wong Ewee Mun, dan Ismail Saman pula mencatat kemenangan mudah ke atas lawan
yang kesemuanya merupakan pemain tuan rumah.
Rashid menewaskan Takahiro Suka
dengan 15-7, 15-3, Ewe Hock mengalahkan Takaaki Taniuchi 15-2, 15-7, manakala
Ismail menumpaskan Shuichi Sakamoto 15-5, 15-10.
Begitupun, kejayaan Ewee Mun
mengatasi Kusamao Suzuki dengan straight-set 15-5, 15-5 belum menjanjikan
laluan mudah apabila dijadualkan menentang pemain nombor satu dunia, Peter
Gade-Christensen dari Denmark pada pusingan kedua nanti.
Dalam pada itu, malang menimpa
dua lagi pemain negara iaitu Jason Wong dan Wong Choon Hann apabila mereka
tewas kepada pencabar masing-masing.
Jason tunduk kepada pemain
China, Ji Xinpeng dalam permainan straight set 15-8, 15-4, manakala Choon Hann
dikalahkan dengan mudah oleh pemain tuan rumah, Tadashi Otsuka 15-6, 15-5.
Sementara itu, pemain nombor
satu dunia ketika ini, Peter Gade Christensen dari Denmark, juara All-England,
Dong Jiong dari China dan juara Olimpik, Poul-Erik Hoyer-Larsen dari Denmark,
akan memulakan cabaran masing-masing, Rabu ini.
Juara dunia, Ye Zhaoying dari
China serta juara bertahan kejohanan ini, Mia Audina dari Indonesia juga akan
menerima cabaran pertama bersama enam lagi pemain pilihan kejohanan pada hari
tersebut. - AFP.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0114&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4FPP7bduQ
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan