Jumaat, 29 Julai 2016

Ewe Hock tangga ke-7

ARKIB : 26/03/1998
JAGUH perseorangan negara Ong Ewe Hock jatuh satu anak tangga, manakala Rashid Sidek tergelongsor tiga kedudukan pada senarai ranking terbaru dunia dikeluarkan Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF), semalam.

Bagaimanapun, Yong Hock Kin dan Mohd. Roslin Hashim kekal di tangga ke-13 dan ke-26, sementara Wong Choon Hann jatuh enam anak tangga ke tempat ke-34 diikuti Ismail Saman jatuh lima kedudukan ke tangga ke-47.

Naib juara Seluruh England, Ewe Hock kini berada di tangga ketujuh dengan pungutan 243.41 mata, manakala Rashid di tangga ke-18 mengumpul 177.14 mata.

Kedudukan teratas perseorangan lelaki masih dipegang jaguh China Sun Jun meskipun dia tewas di tangan bintang Denmark Peter Gade Christensen pada perlawanan akhir Terbuka Switzerland.

Dua lagi pemain China Luo Yigang dan Dong Jiong, masing-masing berada di tempat ketiga dan keempat mengetepikan juara Olimpik Poul-Erik Hoyer Larsen di tempat kelima.

Beregu utama negara Cheah Soon Kit/Yap Kim Hock, yang tidak bertanding di Seluruh England kekal di ranking kelima dunia, manakala pasangan Choong Tan Fook/Lee Wan Wah jatuh dua anak tangga di tempat ke-13.

Satu lagi pasangan negara Tan Kim Her/Rosman Razak, tidak berganjak dari kedudukan ke-21 dengan mengutip 155.63 mata.

Juara beregu lelaki Seluruh England, Lee Dong Soo/Yoo Yong Sung merampas kedudukan teratas daripada pasangan Indonesia Chandra Wiajaya/Sigit Budiarto.

Menguasai tempat ketiga dan keempat adalah pasangan Indonesia Ricky Subagja/Rexy Mainaky dan Denny Kantono/Budi Ariantho Antonius.

Pemain-pemain China nyata terlalu sukar digugat dalam perseorangan wanita apabila menguasai ranking pertama, kedua dan ketiga.

Juara Seluruh England Ye Zhaoying mengetuai senarai dengan 358.77 mata, diikuti dua rakan senegara Gong Zhiohao dan Wang Chen.

Monopoli China dipecahkan Camilla Martin dari Denmark, yang naik satu anak tangga selepas kejayaan menjuarai Terbuka Switzerland menundukkan Zhaoying di perlawanan akhir.

Dua kedudukan teratas beregu wanita dikuasai pasangan China Ge Fei/Gu Jun dan Qin Yiyuan/Tang Yongshu, diikuti Eliza/Zelin Rosiana dari Indonesia.

Pasangan Lim Pek Siah/Chor Hooi Yee, yang muncul beregu tunggal negara dalam kedudukan 25 pemain terbaik dunia jatuh satu anak tangga di tempat ke-23 dengan pungutan 130.44 mata.

Dalam beregu campuran, Kim Dong Moon/Ra Kyung Min kekal di tangga teratas dengan 397.99 mata, manakala pasangan Denmark Jens Eriksen/Marlene Thomsen mengambil alih tempat kedua diikuti rakan senegara Michael Sogaard/Rikke Olsen d i tempat ketiga.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0326&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4FnP648GE © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan