Khamis, 28 Julai 2016

Ranking Ong naik 4 anak tangga

ARKIB : 19/03/1998
KEJAYAAN pemain perseorangan negara, Ong Ewe Hock mara ke perlawanan akhir Kejohanan Badminton Seluruh England minggu lepas membolehkannya melonjak empat anak tangga ke kedudukan keenam dalam ranking Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF) yang dikeluarkan semalam.

Namun nasib sebaliknya menimpa beregu negara, Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock yang terpaksa turun dari tangga kedua ke kedudukan kelima setelah Soon Kit menarik diri daripada kejohanan akibat kecederaan tangan kanannya, SRY ANGRENI MOHD. ZET melaporkan.

Penarikan diri itu menyaksikan Kim Hock yang berpasangan dengan Wong Ewe Mun terkandas seawal pusingan pertama setelah kalah di tangan gandingan Chandra Wijaya dan Tony Gunawan yang mara ke pusingan akhir.

Ewe Hock yang membuat kejutan dengan menewaskan tiga pemain pilihan - Peter Gade Christensen dari Denmark pada pusingan ketiga dan dua pemain Indonesia, Heryanto Arbi dan Hendrawan pada pusingan suku akhir dan separuh akhir kejohanan bertaraf enam bintang itu mengumpul 243.41 mata.

Selain daripada Ewe Hock, Yong Hock Kin yang berjaya mara hingga ke pusingan suku akhir sebelum tewas kepada Sun Jun turut memperbaiki kedudukannya.

Hock Kin yang sebelum ini berada di tangga ke-19 naik enam anak tangga ke tempat ke-13 setelah mengumpul 197.40 mata sementara Rashid Sidek kekal di tangga ke-15 setelah gagal meneruskan cabaran pada kejohanan tersebut akibat kecederaan.

Senarai ranking terbaru itu juga menyaksikan Sun Jun yang menjuarai Kejohanan Seluruh England itu merampas semula tempat pertama daripada Christensen.

Sun Jun mengumpul 326.96 mata sementara Christensen mendapat 323.24 mata. Dua lagi pemain China, Luo Yigang dan Dong Jiong masing-masing disenaraikan sebagai pemain ketiga dan keempat dunia.

Sementara itu, tiga pasangan Indonesia memonopoli empat tempat teratas kategori beregu lelaki dengan Chandra Wijaya-Sigit Budiarto kekal di tangga teratas dengan 329.64 mata.

Beregu Korea Selatan, Lee Dong Soo-Yoo Yong Sung yang menjuarai Kejohanan Seluruh England setelah menewaskan Chandra Wijaya yang berpasangan dengan Tony Gunawan selepas rakannya, Sigit terpaksa menarik diri akibat kecederaan.

Beregu berpengalaman Indonesia, Ricky Subagja-Rexy Mainaky di tangga ketiga sementara rakannya, Denny Kantono-Budi Ariantho Antonius di kedudukan keempat.

Gandingan Choon Tan Fook-Lee Wan Wah yang berharap untuk disenaraikan pada pusingan akhir Piala Thomas di Hong Kong Mei turun dua anak tangga ke kedudukan ke-11 ranking.




SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0319&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4FiAEICNr © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan