Isnin, 25 Julai 2016

Rashid belum pasti perseorangan pertama

ARKIB : 04/02/1998
RASHID Sidek akan menggalas cabaran sebagai pemain perseorangan pertama negara pada pusingan akhir Kejohanan Badminton Piala Thomas di Hong Kong jika mampu memperbaiki kedudukannya dalam ranking dunia.

Menurut Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Morten Frost Hansen, Rashid berpeluang menjadi pemain perseorangan pertama jika kedudukannya dalam ranking dunia mengatasi dua lagi rakan senegaranya, Ong Ewe Hock dan Yong Hock Kin.

Mengikut peraturan badminton antarabangsa, penentuan kedudukan pemain perseorangan pada cabaran Piala Thomas adalah berdasarkan kedudukan dalam ranking dunia.

Berdasarkan ranking yang dikeluarkan selepas Terbuka Jepun, Ewe Hock dan Hock Kin masih berada di hadapan Rashid dan ini meletakkan mereka sebagai pemain perseorangan pertama dan kedua pada pusingan kelayakan Piala Thomas di Manila yang bermula 15 Februari ini.

Frost yang ditemui selepas sesi latihan skuad negara di Kuala Lumpur, semalam berkata, kedudukan muktamad pemain perseorangan pertama negara di Hong Kong kelak adalah berdasarkan kedudukan terkini ranking dunia.

''Jika Rashid berjaya memperbaiki kedudukannya selepas pusingan kelayakan di Manila dan menjelang pusingan akhir di Hong Kong, dia mungkin menjadi pemain perseorangan pertama negara,'' katanya. Baginya, Rashid masih dianggap pemain terbaik perseorangan walaupun Ewe Hock dan Hock Kin mengatasinya dalam ranking dunia.

Mengikut senarai yang diumumkan oleh BAM baru-baru ini, Rashid yang tidak banyak menyertai kejohanan antarabangsa tahun lalu, tetapi bertindak cemerlang hingga ke separuh akhir Terbuka Jepun bulan lalu, kini diletakkan sebagai pemain perseorangan ketiga.

''Saya yakin dan tidak ragu, Rashid mampu menggalas cabaran sebagai pemain perseorangan pertama negara jika diberi peluang.

''Bagaimanapun, saya tetap yakin dengan kedudukan skuad negara sekarang dan yakin dengan kekuatan pemain perseorangan sedia ada,'' katanya yang mengendalikan skuad badminton negara bersama-sama dengan bekas jaguh badminton negara, Misbun Sidek.

Namun menurut Frost, kedudukan pemain perseorangan negara tidak menjadi masalah besar baginya mengatur strategi di Manila kerana matlamat utama mereka sekarang ialah layak ke pusingan akhir di Hong Kong.

Di Manila, Malaysia perlu berhadapan dengan cabaran Thailand dan Jepun sebelum boleh menjejak kaki ke Hong Kong.

''Kita tidak menghadapi banyak masalah menghadapi kedua-dua pasukan ini kerana skuad sekarang sudah cukup mantap.

''Thailand misalnya tidak mempunyai pemain perseorangan yang kuat, oleh itu kita mempunyai peluang dalam acara tersebut,'' tegas Frost.

Menurut Frost, walaupun senarai pemain negara yang diumumkan baru-baru ini menimbulkan banyak persoalan, beliau tetap yakin dengan keadaan skuad negara sekarang.

''Kita perlu berani untuk melakukan sesuatu dan saya sanggup mengambil risiko mengikut apa yang sudah tertera di atas kertas.

''Saya percaya setiap pemain mampu mempamerkan prestasi yang terbaik kerana mereka sekarang sudah menunjukkan peningkatan dari semasa ke semasa,'' katanya.

Sebelum ini, sesetengah pemerhati badminton negara menganggap, jika Rashid diletakkan sebagai pemain perseorangan pertama negara ketika prestasi Ewe Hock lebih baik daripadanya, ia adalah satu kesilapan.

Namun bagi Frost perkara tersebut tidak menjadi masalah baginya, sebaliknya beliau bersedia mempertaruhkan sebuah pasukan yang mempunyai semangat melawan yang kental daripada terlalu bergantung kepada sebuah pasukan yang wujud atas dasar memenuhi kuota sahaja.

Katanya, kedudukan pemain perseorangan yang ada sekarang mampu merangsang pemain-pemain negara mempamerkan semangat melawan yang kental jika strategi yang dirancang menghadapi sebarang masalah.

Sementara itu, skuad badminton negara meneruskan sesi latihan setelah berehat panjang sempena perayaan berkembar Tahun Baru Cina dan Hari Raya Aidilfitri, semalam.

Walaupun kontroversi mengenai senarai pemain negara yang bakal beraksi di Manila masih diperkatakan, latihan skuad negara tampak berjalan lancar.

Pasangan Jeremy Gan dan Chan Chong Ming yang mengejutkan banyak pihak terutama setelah mereka disenaraikan sebagai beregu ketiga negara menggantikan pasangan yang lebih berpengalaman, Choong Tan Fook dan Lee Wan Wah, berlatih dengan tekun, tanpa menghiraukan kontroversi tersebut.

Tan Fook dan Wan Wah turut bersemangat menjalani latihan apatah lagi setelah kembali diberikan 'perhatian' oleh Frost.

Pemain perseorangan negara, Rashid, Ewe Hock, Hock Kin serta Roslin Hashim, Ismail Saman dan Ong Ewe Mun turut menjalani latihan tersebut yang dikendalikan oleh Frost dan Misbun.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0204&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4FUalVpdu © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan