Selasa, 26 Julai 2016

Malaysia menang 5-0

ARKIB : 19/02/1998
SKUAD badminton Piala Thomas negara menepati ramalan awal untuk menempah salah satu tiket ke pusingan akhir Piala Thomas di Hong Kong, Julai ini apabila menewaskan Thailand 5-0 pada perlawanan pertama Kumpulan Y, semalam.

Pemain perseorangan pertama negara, Ong Ewe Hock menewaskan Anupap Thiratsakul 15-5, 15-3 dalam masa 27 minit sebelum Yong Hock Kin menewaskan Krit Chuaynarong 15-3, 15-11 untuk memberikan mata kedua buat negara.

Bekas pemain perseorangan pertama negara, Rashid Sidek yang kini bermain sebagai perseorangan ketiga tidak mengecewakan skuad negara apabila mencatat kemenangan mudah ke atas Natapol Sarawan 15-6, 15-0, untuk memberikan mata kemenangan untuk negara.

Dua pasangan beregu negara yang bermain sekadar untuk melengkapkan jadual menang mudah ke atas pasangan Thailand dalam perlawanan masing-masing.

Cheah Soon Kit Yap Kim Hock menang selesa ke atas pasangan Siripong Siripool-Pramote Teerawiwatana 15-2, 15-8 dalam masa 28 minit.

Manakala Rosman Razak-Tan Kim Her yang mengalas cabaran sebagai pasangan beregu kedua turut meraih kemenangan apabila menewaskan Khunakorn Sudhisodhi-Krit Chuaynarong 15-7, 15-5.

Hari ini skuad Piala Thomas negara akan menentang Singapura sebelum berhadapan dengan cabaran yang lebih getir, menentang Jepun, esok.

Sementara itu, seperti yang diduga, skuad badminton wanita negara mengalami kekalahan pertama di kota Manila pada pusingan kedua kelayakan Piala Uber, semalam apabila ditewaskan oleh Jepun 5-0.

Walaupun pada hari sebelumnya, skuad wanita mendapat suntikan semangat apabila menewaskan India 4-1, pada perlawanan semalam ternyata pengalaman pemain Jepun mengatasi semangat tinggi pemain negara.

Menurut jurulatih negara, Rina Tan yang dihubungi di Manila, semalam, walaupun pasukan Jepun menang mudah, pemain-pemain negara tetap mempamerkan permainan yang baik sepanjang perlawanan.

''Walaupun tewas, pemain-pemain Jepun terpaksa bekerja keras untuk menumpaskan pemain-pemain negara.

''Apa yang pasti, pemain negara banyak belajar daripada perlawanan hari ini,'' katanya.

Pada perlawanan semalam, Ishwari Boopathy yang direhatkan pada perlawanan menentang India turun sebagai perseorangan pertama, tetapi tewas 1-11, 0-11 kepada Kanako Yonekura.

Law Pei Pei pula tewas 9-12, 3-11 di tangan Yasuko Mizui, manakala Woon Sze Mei tewas di tangan Takako Ida 2-11, 3-11.

Pasangan beregu pertama negara, Lim Pek Siah-Chor Hooi Yee pula tewas di tangan Yoshiko Iwata-Haruko Matsuda 10-15, 4-15, manakala Norashikin Amin-Law Pei Pei tewas 9-15, 6-15 kepada Shizuka Yamamoto-Saori Itoh.

Bagi menghadapi perlawanan menentang China hari ini, Rina berkata, skuad negara akan menurunkan barisan pemain yang berbeza.

Walaupun tidak menaruh sebarang harapan pada perlawanan tersebut, Rina berharap pemain-pemain negara bermain dengan baik.

Peluang skuad negara untuk ke pusingan akhir di Hong Kong mungkin berkecai andai tewas pada perlawanan hari ini.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0219&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4FWtc2nOp © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan