Jumaat, 29 Julai 2016

Ewe Hock tidak rasa tertekan

ARKIB : 04/04/1998
PEMAIN perseorangan pertama negara, Ong Ewe Hock tidak merasa tertekan untuk meraih mata pertama negara pada kejohanan badminton Piala Thomas di Hong Kong, Mei depan meskipun pertama kali diturunkan sebagai perseorangan pertama.

Bersandarkan keyakinan dan prestasi di peringkat antarabangsa, beliau optimis mampu melakukan permulaan yang baik sebagai semangat kepada rakan-rakan meraih kejayaan untuk Skuad Piala Thomas negara.

''Saya tahu tugas sebagai pemain perseorangan pertama negara cukup getir lebih-lebih lagi tanggungjawab untuk memastikan mata pertama bagi Skuad Piala Thomas negara.

''Permulaan yang baik bagi saya ialah memastikan mata pertama untuk negara dan saya tidak tertekan memikul tanggugjawab itu,'' katanya ketika ditemui pada Kejohanan Badminton Sirkit Terbuka Kelantan di Kota Bharu, semalam.

Skuad Piala Thomas negara meletakkan sandaran kepada Ong sebagai pemain pertama diikuti Yong Hock Kin dan Rashid Sidek.

Sandaran bagi acara beregu pula diletakkan di bahu beregu utama, Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock, Choong Tan Fook/Lee Wan Wah dan Rosman Razak/Tan Kim Her.

Bersandarkan tanggungjawab besar itu, Ewe Hock tidak gusar untuk berdepan pemain Indonesia, Korea Selatan dan Belanda yang diletakkan bersama Malaysia dalam Kumpulan B.

Kumpulan A pula terdiri daripada pasukan China, Denmark, Sweden dan Hong Kong.

Dengan semangat tinggi yang ditunjukkan oleh skuad Piala Thomas negara, beliau berpendapat semua pemain dari negara ini mampu melakukan misi masing-masing.

Lebih menyakinkan katanya, sistem latihan bersama antara pemain BAM dan Nusa Mahsuri sebanyak dua kali seminggu memperkuatkan lagi kombinasi skuad Piala Thomas negara pada kejohanan berprestij.

''Latihan bersama itu tentunya berkesan kerana setiap pemain dari BAM dan juga Nusa Mahsuri dapat memahami serta mengukuhkan persefahaman di samping memantapkan latihan di bawah kelolaan jurulatih, Morten Frost Hansen dan Misbun Sidek,'' ujarnya.

Ewe Hock berkata, skuad Piala Thomas negara tentunya memanfaatkan barisan perseorangan yang mempunyai kelebihan untuk mencari mata bagi menjamin kedudukan selesa selain mata dari beregu negara.

''Kekuatan lawan terutama Indonesia dan China terletak pada beregu mereka yang begitu baik dan kekuatan negara kita adalah pada perseorangan,'' jelasnya.

Oleh: ISMAIL MUHAMAD




SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0404&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4FrQLV5Wp © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan