Selasa, 26 Julai 2016

Skuad negara kejutkan India

ARKIB : 18/02/1998
SKUAD badminton Piala Uber negara terus cemerlang apabila melakukan kejutan dengan menumpaskan pasukan pilihan kumpulan B, India dengan kemenangan 4-1 pada pusingan pertama kelayakan di Manila, semalam.

Selepas membelasah Sri Langka 5-0 pada perlawanan pertama kumpulan kelayakan kelmarin, Malaysia tidak langsung memberi peluang kepada India untuk meneruskan kecemerlangan.

India yang turut menang 5-0 ke atas Sri Lanka kelmarin, bagaimanapun memungut mata pertama menerusi pemain perseorangan pertamanya, Aparna Popat yang mengalahkan pemain utama negara, Lee Yin Yin dengan straight set 12-10, 11-3.

Bagaimanapun, Malaysia menyamakan kedudukan menerusi perseorangan kedua, Law Pei Pei dengan kemenangan dalam rubber game 11-4, 9-12, 11-4 ke atas Neelima Choudhary.

Selepas itu, skuad negara tidak menoleh ke belakang apabila perseorangan ketiga, Woon Sze Mei meraih mata kedua negara dengan kemenangan mudah 11-2, 11-5 ke atas Manjusha Pawangadkar.

Pasangan Lim Pek Siah-Chor Hooi Yee memberikan mata kemenangan untuk negara apabila menumpaskan pasangan Madhumita Bisht-Sindhu Gulati dengan 15-12, 15-11.

Mata terakhir negara diraih oleh pasangan Norhasikin Amin-Law Pei Pei dengan kemenangan 15-11, 18-14 ke atas Manjusha Pawangadkar-Archana Deodhar.

Dengan kemenangan itu, Malaysia mara ke pusingan kedua selaku juara kumpulan B dan akan berhadapan dengan Jepun, hari ini.

Pusingan kedua akan menentukan kemaraan Malaysia ke final di Hong Kong pada Mei ini.

Pengurus besar skuad negara, Phua Tai Neng ketika dihubungi di Manila berkata, kemenangan skuad Piala Uber itu merupakan yang terbaik untuk skuad negara dan beliau mengucapkan syabas kepada semua pemain.

''Mereka telah tunjukkan persembahan di tahap yang terbaik dan saya begitu berpuas hati dengan kejayaan mereka.

''Kita cuma kini mahu menang ke atas Jepun pada pusingan kedua untuk mencerahkan peluang ke pusingan akhir di Hong Kong nanti,'' kata Phua.

Rombakan yang dilakukan ke atas skuad Malaysia yang merehatkan Joanne Quay dan Ishwarii Boophaty nyata mengena apabila pengganti mereka, Pei Pei untuk acara beregu berpasangan dengan Norhasikin tidak mengecewakan.

Pei Pei sebelum itu beraksi cemerlang apabila memberikan mata penyamaan negara pada perlawanan perseorangan kedua. Sebelum ini, Ishwarii ditugaskan selaku perseorangan kedua ketika menentang Sri Lanka.

Menurut Phua, kekalahan Yin Yin pada perlawanan pertama tidak melemahkan semangat pemain lain sebaliknya mereka lebih bersemangat untuk mencari kemenangan.

''Yin Yin sudah berikan yang terbaik dan kesungguhan yang ditunjukkan begitu memberangsangkan dan ia boleh dilihat pada set pertama. Begitupun, pengalaman Popat memisahkan keyakinan Yin Yin dengan kekalahan 3-11 pada set kedua.

''Apa pun, dia sudah menunjukkan permainan yang semakin baik dan saya percaya dia mampu meneruskan aksi begitu pada perlawanan akan datang,'' katanya.

Phua menambah, matlamat pasukan kini menentukan kemenangan ke atas Jepun hari ini dalam kumpulan X yang turut disertai China dan New Zealand.

''Kita ada harapan kalahkan Jepun dan New Zealand jika semua pemain mengekalkan prestasi mereka ketika mengalahkan Sri Lanka dan India.

''Tugas kita sekarang ialah merebut dua tempat teratas untuk ke akhir dan kita ada peluang untuk merampas tempat itu kerana China pasti mudah merampas tempat pertama,'' ujar pengurus itu.

Sementara itu, Sze Mei yang diberi kepercayaan sebagai pemain ketiga berkata, dia tidak menyangka menang mudah ke atas Manjusha.

''Ini adalah kali pertama saya mewakili negara dalam Piala Uber dan saya gembira kerana berjaya menyumbang mata. Saya akan cuba teruskan prestasi saya pada perlawanan seterusnya,'' kata pemain berusia 21 tahun dari Selangor itu.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0218&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4FWpx3xP0 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan