Isnin, 25 Julai 2016

Teka teki pemain ketiga

ARKIB : 23/01/1998 
BERI PERHATIAN...Wong Choon Hann serius mendengar taklimat ringkas yang diberikan oleh Morten Frost sewaktu sesi latihan di Dewan Kilat Tenaga Nasional (TNB) Bangsar, semalam.

SENARAI terakhir pemain perseorangan lelaki badminton negara terus menjadi teka-teki ketika satu kekosongan lagi bakal dipenuhi kini sudah berada dalam tangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi mengharungi cabaran negara pada pusingan kelayakan Piala Thomas Zon Asia dari 15-22 Febuari ini di Manila.

Begitupun, pertemuan Presiden BAM, Datuk Dr. Abdullah Fadzil Che Wan, Setiausaha Kehormat Datuk Mohamed Al Amin serta dua tenaga utama Misbun Sidek dan Morten Frost Hansen pagi ini akan merumuskan segalanya.

Ketika Ong Ewe Hock, Rashid Sidek dan Roslin Hashim mampu menarik nafas lega nama masing-masing sudah terpahat dalam senarai utama tetapi satu lagi kekosongan kini menjadi buruan antara pemain berpengalaman Yong Hock Kin dan Wong Choon Hann.

Jurulatih Nusa Mahsuri, Misbun Sidek ketika diminta mengulas mengenai calon terakhir itu berkata: ''Saya diberitahu perkara itu akan diumumkan oleh BAM esok (hari ini). Saya dan Frost sudah menghantar senarai seorang lagi pemain itu kepada BAM.''

Menurut Misbun, memang kriteria pemilihan adalah berdasarkan kedudukan ranking dunia yang dikeluarkan oleh Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF) kelmarin selain prestasi di Terbuka Jepun berakhir Ahad lalu.

''Tetapi kita juga mengambil kira faktor kebolehan pemain untuk bermain secara berpasukan dan tidak secara individu yang menjadi penentu utama pemilihan ini,'' jelas Misbun ketika ditemui selepas sesi latihan semalam.

Misbun tidak menolak mungkin ada keputusan mengejutkan dalam senarai perseorangan yang akan diumumkan hari ini.

Mengikut ranking IBF, Ewe Hock berada di tangga teratas pemain negara apabila memperbaiki kedudukan untuk berada di tempat ke-14, Hock Kin menduduki senarai kedua kekal di tangga ke-18 manakala Rashid berada di tempat ketiga disekat pada separuh akhir Terbuka Jepun melonjak 10 anak tangga untuk berada di tempat ke-20.

Kedudukan pemain keempat memihak kepada Roslin melonjak dari tempat ke-39 kepada tempat ke-27 dan Choon Hann berada di tempat ke-30.

Pemain Malaysia yang lain pula berada dalam senarai 50 pemain terbaik dunia ialah Ismail Saman (ke-39), Wong Ewee Mun (ke-44) dan Lo Ah Heng (ke-47).

''Pemilihan ini juga melihat kepada prestasi semasa dan bukanya kejayaan yang dirintis musim lalu,'' jelasnya.

Ini sekali gus bakal menyaksikan Choon Hann, juara Terbuka Belanda tahun lalu akan mengisi kekosongan kempat perseorangan negara berbanding Hock Kin dianggap kurang konsisten.

Malah jelas Misbun lagi, keupayaan setiap seorang pemain negara turut dinilai mengikut saingan lawan khususnya dari China dan Korea yang menjadi saingan utama pada peringkat kelayakan nanti.

Beliau turut merumuskan hanya lima pemain tangga teratas ranking negara adalah paling konsisten sejak latihan bersama antara Nusa Mahsuri dan BAM bermula minggu lalu.

Manakala tiga lagi pelatih kebangsaan seperti Ismail Saman, Jason Wong dan Wong Ewe Mun masih belum matang corak permainan masing-masing.

Dalam acara beregu pula BAM selain pasangan utama Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock yang baru dimahkotakan gelaran Terbuka Jepun Ahad lalu dan gandingan simpanan skuad Piala Thomas 1996, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah satu lagi kekosongan bakal diisi oleh Rosman Razak dan Tan Kim Her-Rosman Razak.

Cheah Soon Kit dan Yap Kim Hock, yang memulakan tahun 1998 dengan memenangi Kejohanan Badminton Terbuka Jepun, melonjak ke tempat kedua dalam senarai terbaru dunia manakala Rashid Sidek kembali dalam senarai 20 pemain terbaik.

Beregu Malaysia itu, yang sebelum ini menduduki tempat keempat, kini berada di belakang juara dunia Chandra Wijaya dan Sigit Budiarto.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0123&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4FQnrSHZu © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan