Jumaat, 29 Julai 2016

Roslin, Ismail jadi ganti


 

ARKIB : 27/03/1998

BEGINI CARANYA... Ismail (kanan) mendengar pandangan yang dikemukakan oleh jurulatihnya, Misbun ketika menjalani latihan di Akademi Badminton Malaysia, Taman Maluri, semalam.

JURULATIH Nusa Mahsuri, Misbun Sidek tetap mempersiapkan dua pemain perseorangannya, Roslin Hashim dan Ismail Saman untuk menghadapi kejohanan Piala Thomas walaupun yakin adiknya, Rashid Sidek akan pulih sebelum pemilihan skuad dibuat.

Menurut Misbun, Rashid memerlukan antara tiga hingga empat minggu untuk memastikan kecederaan di paha kanannya benar-benar sembuh.

Walaupun jangkamasa itu agak lama namun dia pasti tahap kecergasan Rashid tidak tergugat kerana dia terus menjalani latihan termasuk latihan bersama dengan pemain Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang diadakan dua kali seminggu.

''Saya yakin Rashid dapat sembuh sebelum BAM membuat pemilihan pemain bagi Piala Thomas. Sekiranya Rashid pulih, dia pasti dipilih untuk menyertai skuad itu.

''Walaupun begitu, Roslin dan Ismail tetap saya latih bagi membolehkan mereka setaraf dengan pemain-pemain lain yang turut bersaing merebut tempat sebagai pemain perseorangan tiga,'' katanya yang ditemui di Akademi Badminton Malaysia, Taman Maluri, semalam.

Rashid yang dijangka diletakkan sebagai pemain ketiga negara pada kejohanan itu mengalami kecederaan lama pada peha kanannya ketika menyertai Kejohanan Terbuka Jepun, Januari lalu.

Kecederaan itu semakin serius ketika menyertai pusingan kelayakan Piala Thomas di Manila dan berulang kembali ketika menyertai Kejohanan Seluruh England, dua minggu lalu.

Berdasarkan latihan semalam, kecederaan yang dihadapi tidak menghalang Rashid dari terus menjalani latihan bersama pemain BAM.

Sementara itu, Ismail dan Roslin tetap meletakkan harapan yang tinggi untuk disenaraikan dalam skuad Piala Thomas itu.

Dalam perkembangan lain, Jawatankuasa Kejohanan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) masih perlu menunggu dua minggu lagi sebelum mendapat kelulusan daripada ahli majlis mengenai cadangan menawarkan AS$125,000 (kira-kira RM450,000) sebagai hadiah pada Kejohanan Terbuka Malaysia yang akan berlangsung di Pulau Pinang pada 1-5 Julai ini.

Mesyuarat yang sepatutnya diadakan Sabtu ini terpaksa ditunda kerana Presidennya, Datuk Dr. Abdullah Fadzil Che Wan tidak dapat hadir pada tarikh tersebut.

Pengurus Besar BAM, Phua Tai Neng berkata, mesyuarat majlis itu akan diadakan pada 11 April ini.

''Kita terpaksa menunda mesyuarat ke-11 April kerana Datuk Fadzil mempunyai urusan pada minggu ini dan Terbuka Kelantan berlangsung minggu depan,'' ujarnya.

Mesyuarat itu dijangka meluluskan cadangan jawatankuasa kejohanan untuk mengurangkan jumlah wang tunai yang ditawarkan sebagai hadiah pada Terbuka Malaysia tahun ini.

Jawatankuasa kejohanan yang dipengerusikan oleh Datuk Roland Wong, Isnin lalu meluluskan cadangan mengurangkan jumlah hadiah wang tunai sebanyak AS$55,000 (kira-kira RM198,000) daripada AS$180,000 (RM648,000) tahun lalu kepada AS$125,000 (kira-kira 450,000) pada pertandingan kali ini.

Pengurangan jumlah itusekali gus menurunkan taraf kejohanan daripada lima bintang kepada empat bintang. Cadangan itu bagaimanapun perlu mendapat kelulusan ahli majlis.

Oleh: SRY ANGRENI MOHD. ZET

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0327&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4FnoRTHW8 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan