ARKIB : 25/03/1998
PEMAIN perseorangan negara,
Rashid Sidek mahu mencipta hat trik dengan mencapai kejayaan ketiga dalam acara
perseorangan di Sukan Komanwel '98 (KL '98) di Kuala Lumpur, September ini.
Beliau yang meraih emas dalam
dua dua kejohanan lalu meletakkan sasaran berkenaan sebagai hadiah istimewa
kepada negara sebelum bersara dari arena berkenaan.
Jelasnya, penyertaannya dalam
KL '98 nanti sudah semestinya menjadi tumpuan memandangkan kejayaannya akan
membawa erti mendalam dalam kejohanan berkenaan.
Rashid sebelum ini merangkul
emas dalam perseorangan semasa di Sukan Komanwel di Auckland, New Zealand
(1990) dan Victoria, Kanada (1994).
Katanya, KL '98 akan memberi
cabaran getir terutama sudah semakin ramai jaguh perseorangan dari negara
komanwel muncul.
Jelasnya, adalah satu yang
membanggakan kepada dirinya dan negara sekiranya kejayaan tersebut dicapai bagi
meletakkan penguasaan negara dalam acara berkenaan.
''Saya meletakkan KL '98
sebagai sesuatu yang penting dalam karier dan kejayaan pasti akan memberi
kenangan paling manis,'' katanya selepas merasmikan Majalah HOBI di Kuala
Lumpur, semalam.
Rashid bagaimanapun mengakui
tekanan yang diterima dalam menyandang kejuaraan di KL '98 nanti adalah dari
rakan senegara berbanding pemain luar.
Katanya, kemampuan pemain
perseorangan negara kini semakin menyerlah dan mula memperlihatkan aksi
bertaraf dunia.
''Saya mengakui tekanan
daripada pemain negara adalah lebih hebat daripada pemain negara lain,''
tegasnya.
Namun Rashid menegaskan,
kemampuan rakan senegara dalam acara perseorangan bukanlah sesuatu yang harus
digusarkan kerana membawa kebaikan kepada negara secara keseluruhan
''Kemampuan pemain perseorangan
negara sekali gus memberi kelebihan untuk memilih pelapis pada masa hadapan.
''Keadaan ini seharusnya
membanggakan kerana kita sudah tidak ketandusan pemain perseorangan berbanding
dahulu,'' jelasnya.
Mengenai persiapan menjelang
Piala Thomas, Rashid menjelaskan yang setakat ini pasukan negara mula menjalani
latihan secara berpusat.
Pemain dari Persatuan Badminton
Malaysia (BAM) dan Nusa Mashuri mula menjalani latihan bersama dua kali
seminggu bermula semalam.
''Kami semakin bersedia dan
akan memberi cabaran terbaik semasa di Hong Kong nanti,'' jelas beliau.
Rashid yang diletakkan dalam
perseorangan ketiga berjanji akan memberi komitmen sepenuhnya bagi membawa
Malaysia ke tangga terbaik.
''Sumbangan kepada negara
adalah penting bagi memartabatkan kemampuan skuad negara di mata dunia,''
tegasnya.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0325&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4FmjjOYWU
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan