Sabtu, 23 Julai 2016

KELAYAKAN PIALA THOMAS -- Terbuka Jepun


 

ARKIB : 10/01/1998
KELAYAKAN PIALA THOMAS -- Terbuka Jepun jadi medan pemilihan
JADI CONTOH... Datuk Dr Abdullah Fadzil Che Wan (kanan sekali) memberi nasihat kepada beregu nombor satu negara Cheah Soon Kit/Yap Kim Hock pada sesi latihan di dewan Kelab Kilat, Jalan Bangsar semalam.

PEMAIN-pemain negara harus mempamerkan persembahan terbaik pada kejohanan badminton Terbuka Jepun 14 hingga 18 Januari ini, untuk merebut tempat dalam skuad kelayakan Piala Thomas yang akan diadakan di Manila pada 15 hingga 22 Februari depan, NORZIE MOHD KHASBI melaporkan.

Hanya pemain yang beraksi cemerlang di Terbuka Jepun akan terpilih menganggotai skuad tersebut, kerana pemilihan tidak lagi berdasarkan ranking semasa yang dikatakan terlalu rapat di antara satu sama lain.

Pemilihan skuad terakhir akan dilakukan pada 22 Januari depan dengan perseorangan utama negara Ong Ewe Hock, Rashid Sidek, Wong Choon Hann, Ong Ewee Mun, Ismail Saman dan Roslin Hashim menyertai senarai calon acara perseorangan.

Sementara pasangan elit Cheah Soon Kit/Yap Kim Hock menerajui calon beregu lelaki bersama-sama Choong Tan Fook/Lee Wan Wah, Tan Kim Her/Rosman Razak dan Chew Choon Eng/Lee Chee Leong.

''Hanya pemain yang mempamer persembahan cemerlang akan dipilih mewakili negara. Mereka harus membuktikan prestasi serta kecergasan yang terbaik untuk merebut tempat,'' kata Pengarah Kejurulatihan Kebangsaan, Morten Frost Hansen.

Pusingan kelayakan di Manila itu akan berlangsung dari 15 hingga 22 Februari.

Beliau berkata pemilihan adalah berdasarkan prestasi bukan keputusan. Menjelang pusingan akhir di Hong Kong pada Mei, pemain-pemain negara akan menyertai Terbuka Jepun, Seluruh England dan Terbuka Swiizerland.

Sementara itu, Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Dr Abdullah Fadzil Che Wan, yang turut menyaksikan sesi latihan skuad kebangsaan di dewan Kelab Kilat, Jalan Bangsar semalam yakin pemain negara mampu melepasi pusingan kelayakan di Manila nanti.

''Berdasarkan prestasi semasa, saya optimis pemain berupaya melepasi halangan di peringkat kelayakan ,'' katanya.

''Di atas kertas, kita masih dianggap pilihan walaupun dianggotai kebanyakan pemain muda,'' katanya lagi.

Ketua jurulatih Nusa Mahsuri, Misbun Sidek juga berpuas hati dengan tahap kecergasan semasa pemain. Menurutnya, anak buahnya menunjukkan peningkatan dari sehari ke sehari.

''Selepas mengadakan pemeriksaan kesihatan semalam (kelmain), Ismail menunjukkan kadar kecergasan tertinggi diikuti Rashid dan Roslin.

''Saya tidak nampak beraksi di bulan puasa memberi masalah kepada pemain beragama Islam. Mereka bukan saja bersemangat, malah mempamer prestasi yang cukup memberangsangkan,'' katanya.

Sementara itu, empat pemain yang gagal menghadirkan diri pada sesi latihan pertama iaitu Soon Kit/Kim Hock, Ewe Hock dan Hock Kin menepati janji apabila turun pada sesi latihan kedua semalam.

Abdullah berkata, tiada sebarang tindakan akan dikenakan ke atas pemain terbabit di atas kegagalan menghadirkan diri pada sesi latihan sulung kerana ia hanya satu silap faham dan bukan kesilapan yang disengajakan.

''Selepas bertanya masalah sebenar pemain, kami dapati ia hanya satu silap faham dan bukan disengajakan. Ia juga bukan tanda protes pemain seperti yang digembar-gemburkan selama ini,'' katanya.

Abdullah juga menyuarakan kegembiraannya dengan perkembangan terbaru badminton negara yang menurutnya semakin sihat.

''Persatuan dan pemain sudah semakin matang. Mereka tidak lagi mengikut perasaan dengan mencampur adukan masalah peribadi dengan karier.

''Perkembangan ini pasti akan memantapkan lagi sukan badminton negara dan saya rasa ia adalah berita paling menggembirakan apabila tirai 1998 dibuka,'' katanya lagi.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0110&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4FE9d9CJi © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan