Sabtu, 10 September 2016

Badminton bolot RM84,000


 

 ARKIB : 12/06/1998
Badminton bolot RM84,000
BERBALOI ... Para pemain dan pegawai BAM kelihatan ceria selepas meraih hadiah berjumlah RM84,000 pada majlis ringkas di Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil, semalam. - Gambar SAHARUDDIN ABDULLAH.

SKUAD badminton Piala Thomas yang membantu negara muncul naib juara di Hong Kong bulan lalu mendahului senarai apabila meraih sejumlah RM84,000 hasil skim hadiah kemenangan Majlis Sukan Negara (MSN), semalam.

Lapan pemain negara iaitu Cheah Soon Kit, Ong Ewe Hock, Roslin Hashim, Yong Hock Kin, Yap Kim Hock, Wong Choon Hann, Lee Wan Wah, Choong Tan Fook dan Tan Kim Her, masing-masing menerima RM8,000 seorang menerusi Skim Hadiah Kemenangan Atlet (SHAKAM).

Jurulatih negara pula mendapat RM8,000 di bawah Skim Galakan Jurulatih (SGR), manakala Persatuan Badminton Malaysia (BAM) turut menerima RM4,000 di bawah Skim Pengurusan Pasukan (SIKAP).

Menteri Belia dan Sukan, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan hadiah tersebut di Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil, semalam.

Turut menerima skim hadiah galakan itu ialah tiga penembak kebangsaan yang menunjukkan prestasi cemerlang meraih pingat emas pada Kejohanan Menembak SEASA ke-22 di Manila penghujung Februari lalu.

Penembak terbabit, Jasni Shaari menerima RM2,000 dengan meraih emas individu dan berpasukan, Abdul Mutalib Razak RM500 dan Sabki Mohd. Din RM500 bagi acara berpasukan, manakala Persatuan Menembak Kebangsaan (NSAM) menerima RM300 bersama jurulatih dengan RM600.

Dua peserta taekwon-do negara, Lee Wan Yuen dan S. Saravanan yang memenangi pingat gangsa pada Kejohanan Taekwon-do Ke-13 di Vietnam pula menerima RM3,000 seorang, manakala Persekutuan Taekwon-do Malaysia menerima RM600. Jurulatih pula mendapat RM1,200.

Lee memenangi gangsa dalam acara heavyweight wanita, sementara Saravanan dalam acara featherweight lelaki.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0612&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4Jusimp3l © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan