Selasa, 13 September 2016

Hajat Roslin terlaksana

ARKIB : 01/08/1998
 
CUBA RASA YANG INI... Ong Ewe Hock (kanan) menghulurkan buah durian kepada jurulatih, Morten Frost Hansen semasa 'jamuan durian' yang diadakan di luar Akademi Badminton Malaysia, Taman Maluri, semalam.

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) akhirnya bersetuju menyenaraikan Roslin Hashim sebagai salah seorang daripada tujuh pemain lelaki yang akan membawa cabaran negara pada Sukan Komanwel XVI di Kuala Lumpur 11-21 September ini.

Penyenaraan pemain berusia 23 tahun itu dari Kelab Musa Mahsuri itu dibuat berdasarkan kedudukan rankingnya serta rayuan yang dikemukakan oleh Persatuan Badminton Kelantan (KBA) dan Persatuan Badminton Melayu Malaysia (PBMM) pada mesyuarat Exco badan induk itu di Kuala Lumpur, semalam.

Mesyuarat itu turut bersetuju dengan pemilihan Ong Ewe Hock dan Yong Hock Kin bagi acara perseorangan dan gandingan Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock serta Lee Wan Wah-Choon Tan Fook untuk acara beregu pada temasya itu.

Wong Choon Hann yang turut beraksi pada Kejohanan Piala Thomas di Hong Kong, Mei lalu turut disenaraikan sebagai pemain simpanan.

Presiden BAM, Datuk Dr. Abdullah Fadzil Che Wan ketika memaklumkan perkara itu berkata bahawa semua 11 Exco yang menghadiri mesyuarat itu bersetuju dengan keputusan Jawatankuasa Pemilihan yang memilih 16 pemain lelaki dan wanita termasuk dua simpanan yang telah dibuat 14 Julai lalu.

''Persetujuan ini dibuat sebulat suara oleh 11 perwakilan persatuan badminton negeri serta dua persatuan negeri yang tidak hadiri (Sarawak dan Pulau Pinang) tetapi memberi mandat pada Exco untuk bersetuju dengan keputusan yang dibuat.

''Pemilihan pemain ini telah dibuat 14 Julai lalu dan kami tidak berganjak dengan keputusan ini walaupun masalah berlaku antara BAM dan Nusa Mahsuri dan hari ini (semalam) Exco telah mempertimbangkan cadangan ini dan bersetuju dengan keputusan Jawatankuasa Pemilihan,'' katanya.

Menurut Dr. Fadzil, BAM melalui KBA yang diwakili Datuk Wan Hashim Wan Ahmad akan menghantar surat rasmi kepada Roslin mengenai pemilihannya.

Semua pemain yang dipilih dikehendaki menyertai latihan pusat di bawah pengawasan jurulatih BAM di Akademi Badminton mulai 4 Ogos ini.

BAM juga akan menyediakan tempat tinggal dan makanan serta elaun RM20 sehari bagi semua pemain selain membiayai semua perbelanjaan menyertai Kejohanan Terbuka Singapura 12-16 Ogos ini.

Semua pemain juga dikehendaki menggunakan pakaian rasmi BAM temasuk kemeja T sehingga Sukan Komanwel.

Keputusan BAM itu sekali gus menyingkirkan kehadiran jurulatih Nusa Mahsuri, Misbun Sidek yang sebelum ini selalu bersama pemainnya termasuk ketika menyertai kejohanan di luar negara.

Beliau menjelaskan bahawa keputusan itu juga telah dipersetujui oleh Menteri Belia dan Sukan, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada pertemuan mereka tiga hari lalu.

Beliau juga menjelaskan bahawa Exco telah bersetuju bahawa badan induk itu hanya akan berhubung dengan persatuan negeri bagi mana-mana pemain yang ingin menyertai kejohanan anjuran Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF), Konfederasi Badminton Asia (ABC) dan BAM.

''Semua pemain kini perlu membuat permohonan kepada persatuan negeri masing-masing sekiranya mereka berminat menyertai sebarang kejohanan di bawah IBF, ABC dan BAM. Perkara ini juga melibatkan pemain-pemain BAM sendiri,'' jelasnya.

Menurut Dr. Fadzil perkara itu diambil bagi memudahkan pentadbiran BAM dan mengurangkan masalah.

SKUAD BADMINTON KE SUKAN KOMANWEL - Perseorangan: Ong Ewe Hock, Yong Hock Kin, Roslin Hashim, Wong Choon Hann (simpanan) Beregu: Cheah Soon Kit/Yap Kim Hock dan Choong Tan Fook/Lee Wan Wah.

Wanita - Perseorangan: Woon Sze Mei, Law Pei Pei, Ng Mee Fen, Ishwarii Boopathy (simpanan).

Beregu - Lim Pek Siah/Chor Sooi Yee dan Norashikin Amin/Joanne Quay.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0801&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4KBzdFWiw © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan