ARKIB : 23/05/1998
Indonesia, Malaysia tentukan
juara
MALAYSIA akan bertemu Indonesia
pada perlawanan akhir badminton Piala Thomas selepas menewaskan lawan
masing-masing di separuh akhir kejohanan itu, semalam.
Malaysia yang bermain cemerlang
dalam perlawanan yang menyaksikan Roslin Hashim sebagai penyelamat maruah
negara menidakkan kehebatan Denmark, 3-2 untuk melangkah ke perlawanan akhir.
Sementara Indonesia yang dari
awal berusaha mempertahankan kejuaraan Piala Thomas yang dimiliknya pada tahun
1996 dengan menumpaskan Denmark di tempat sama, menumpaskan China dalam
permainan selesa.
Kemaraan Malaysia dan Indonesia
ini juga ibarat pertemuan 'ulangan' di mana Malaysia menewaskan Indonesia di
Kuala Lumpur, 1992 untuk menjulang Piala Thomas dan tewas kepada Indonesia di
Jakarta, 1994.
Pada perlawanan semalam,
Malaysia berjaya mengembalikan maruah sebagai jaguh badminton dunia apabila
melayakkan diri ke perlawanan akhir selepas menewaskan Denmark 3-2 pada separuh
akhir Kejohanan Piala Thomas di Stadium Tertutup Queen Elizabeth, Hong Kong,
semalam.
Debaran selama hampir enam jam
bertarung terjawab apabila pemain Nusa Mahsuri Roslin Hashim menjawab penantian
seluruh rakyat Malaysia dengan menewaskan Kenneth Jonassen setelah kedudukan
terikat 2-2.
Kemampuan yang ditunjukkan oleh
beliau sekali gus menolak ramalan yang ketiadaan Rashid Sidek akan menjejaskan
kemaraan skuad negara.
Langkah Malaysia dalam separuh
akhir bermula dengan baik sekali apabila gandingan baru Cheah Soon Kit-Choon
Tan Fook menyumbang mata pertama setelah menewaskan beregu kelima dunia, Jon
Holst-Christensen dan Michael Sogaard, 11-15, 15-12, 14-18.
Kemenangan mereka sekali gus
menyemarakkan semangat pemain lain untuk meneruskan perjuangan selepas Malaysia
untuk mengikat kedudukan 1-1 dengan Denmark.
Yong Hock Kin mengutip mata
kedua negara dengan menewaskan pemain berpengalaman, Poul-Erik Hoyer Larsen 15-
11, 14-18, 15-11 dalam satu perlawanan yang cukup sengit.
Kemenangan Hock Kin ternyata memberi
satu semangat kepada Roslin untuk turun membuat penentuan untuk layak ke akhir.
Tanpa sebarang rekod kejuaraan
dalam sebarang kejohanan antarabangsa, pemain berusia 23 tahun yang turun
sebagai pemain IFunderdogNF tewas 18-15 pada set pertama.
Kekalahan itu bagaimanapun
tidak menggugat semangat Roslin apabila beliau bangkit pada set kedua sehingga
medahalui 13-3.
Jonassen cuba bangkit tetapi
sekadar mampu mengutip dua mata bagi mengikat kedudukan 13-5 sebelum Roslin
memaksa perlawanan dilanjutkan ke set penentuan setelah memenangi set tersebut
dengan 15-5.
Set penentuan yang mendebarkan
berlangsung dengan sengit dan pemain Denmark itu berjaya mengutip dua mata
pertama sebelum Roslin memintasnya dengan empat mata bagi mengikat kedudukan
4-2.
Ketika Jonassen mendahului 6-5,
Roslin yang nyata menguasai perlawanan pada set itu memperoleh lapan mata dan
mengikat kedudukan 13-6 sebelum mengakhiri perlawanan dengan kemenangan 15-8.
Denmark yang turun dengan
harapan besar memenangi Piala Thomas setelah kira-kira 40 tahun berusaha
memperoleh dua mata daripada pemain perseorangannya, Peter Gade-Christensen
yang menewaskan Ong Ewe Hock 15-7, 15-10 dan gandingan Jens Eriksen-Jespere Larsen
yang menang 17-16, 15-12 kepada pasangan Yap Kim Hock-Tan Kim Her.
Kali terakhir Malaysia mara ke
perlawanan akhir pada 1994 di Jakarta sebelum tewas 3-0 kepada Indonesia
Sementara itu, pemain
perseorangan pertama China, Sun Jun menumpaskan pemain Indonesia, Heryanto
Arbi, 17-18, 15-4, 15-1.
Manakala beregu pertama
Indonesia, Ricky Subagja/Rexy Mainaky mengembalikan maruah pasukan dengan
menumpaskan pasangan Lui Yong/Yu Jinhao, 15-6, 15-2.
Perseorangan kedua Indonesia,
H. Hendrawan mengetepikan saingan Luo Yigang, 15-9, 15-4.
Indonesia terus memastikan
kemenangan ke atas China apabila beregu kedua, Sigit Budiarto/Chandra Wijaya
menewaskan Zhang Wei/Zhang jun, 15-3, 15-7.
Manakala perlawanan
perseorangan ketiga antara Joko Suprianto dan Chen Gang tidak mampu mengubah
peluang Indonesia lagi untuk beraksi pada perlawanan akhir, esok. - Utusan.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0523&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4JTNtyTil
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan